Portal berita terbaik anda

Utama

Kedah dijangka naikkan harga tiket feri Langkawi tidak lama lagi

ALOR SETAR – Kerajaan Kedah yang menunggu masa untuk menaikkan harga tiket feri ke Langkawi.

Ia bagi membolehkan konsortium feri di negeri itu terus bertahan ketika pandemik COVID-19.

EXCO Pengangkutan negeri, Azman Nasrudin, berkata kerajaan negeri sudah berbincang dengan Kementerian Pengangkutan mengenai perkara itu dan sedang menunggu persetujuan Kabinet.

Katanya, peratus kenaikan tambang itu sudah dibincangkan dengan kadar yang wajar dan tidak membebankan penumpang.

“Harga tiket di Langkawi tidak pernah naik sejak 2007 iaitu 13 tahun lalu, ia pernah dibincangkan beberapa kali oleh kerajaan terdahulu namun masih tidak berlaku kenaikan.

“Jadi kali ini kita sangat berharap Kabinet akan membuat keputusan yang baik bagi mewujudkan situasi menang-menang kepada penumpang dan juga pengusaha feri Langkawi untuk kelangsungan syarikat,” katanya pada sidang media di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Azman berkata pihaknya turut mencadangkan agar subsidi diberikan kepada konsortium feri di negeri ini bagi menampung operasi yang kekurangan penumpang kerana penjarakan sosial dan jumlah perjalanan yang dikurangkan daripada 10 kepada dua perjalanan sehari ketika ini.

Selain itu, pihaknya juga akan mencadangkan kekerapan perjalanan feri Langkawi-Kuala Kedah ditambah ketika Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Khas Negeri (JKKN) berkaitan COVID-19 malam ini.

“Kita mungkin tambah daripada dua kepada empat perjalanan sehari, namun ia memerlukan perbincangan terperinci dalam mesyuarat malam ini.

“Apa yang penting sekarang, selain mementingkan keselamatan rakyat berdepan wabak ini, kita juga mahu kitaran ekonomi berjalan dengan menyelamatkan sektor pengangkutan dan pelancongan.

“Setakat ini perkhidmatan feri di Kedah antara yang termurah berbanding negeri lain, saya yakin pengguna akan dapat memahami situasi ini bagi memastikan pengusaha feri dapat menawarkan perkhidmatan yang lebih baik selepas ini,” katanya.

Pada masa ini, harga tiket sehala Kuala Kedah ke Langkawi ialah RM23 manakala Kuala Perlis-Langkawi ialah RM18.

Loading...

Leave a Reply