‘Kebelakangan ini orang ke penjara senyum tanpa malu’ – Tun M

0
722

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau mengagumi budaya masyarakat Jepun mengenai rasa bertanggungjawab atas kesilapan mereka, sehinggakan pada masa dahulu melakukan harakiri.

“(Waktu dulu) apabila mereka gagal menyelesaikan apa yang mereka laksanakan, mereka melakukan harakiri (ritual bunuh diri).

“Sekarang tidak lagi, namun mereka bertanggungjawab atas kesilapan mereka… mereka rasa malu,” kata beliau, petik laporan Bernama.

Perdana menteri berkata demikian semasa menyampaikan ucapan pada majlis penganugerahan ijazah kehormat terhadap beliau daripada University of Tsukuba di Tokyo pada Isnin.

Presiden universiti berkenaan, Prof Kyosuke Nagata menyampaikan ijazah kehormat berkenaan kepada Dr Mahathir.

Dalam ucapannya, Mahathir juga membandingkan budaya mengambil tanggungjawab masyarakat Jepun dengan keadaan semasa di Malaysia yang mana menurut beliau “orang ke penjara tanpa rasa malu.”

“Di Malaysia, kadang-kadang kita tidak ada rasa malu walaupun kita gagal. Kebelakangan ini, orang ke penjara tanpa rasa malu langsung, mereka senyum.

“Kita perlu ubah budaya itu. Jika anda ada rasa malu, ia akan dorong kita capai matlamat setiap kali kita ditugaskan dengan sesuatu kerja atau sasaran,” katanya tanpa merujuk sebarang nama secara khusus.

Perdana menteri sedang dalam rangka lawatan kerja tiga hari ke Jepun bermula hari ini.

Hadir sama pada majlis penganugerahan itu ialah isteri beliau Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah dan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here