Cempedak Cheese

Portal berita terbaik anda

Utama

KBS masuk campur jika Terengganu larang wanita sertai gimnastik – Syed Saddiq

Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata kementeriannya akan campur tangan dengan mengambil alih Majlis Sukan Negeri Terengganu jika kerajaan negeri itu menghalang atlet gimnastik perempuan daripada menyertai pertandingan.

Beliau mengulas laporan Channel News Asia berhubung langkah kerajaan Terengganu memperkenalkan garis panduan yang antara lain menghalang penyertaan atlet perempuan dalam segala bentuk acara gimnastik.

Syed Saddiq berkata, kerajaan Terengganu sebelum ini memberi jaminan kepadanya behawa atlet wanita negeri itu akan dibenarkan menyertai Kejohanan Sukma tetapi kini keliru apabila laporan itu menyatakan negeri itu tidak akan menghantar mana-mana atlet untuk acara itu pada Sukma 2020.

Namun katanya jika benar kerajaan negeri itu mahu mengekang sukan gimnastik di kalangan perempuan di negeri itu, kerajaan pusat akan masuk campur dan menyerap atlet-atlet sukan itu.

“Saya tak akan bertolak ansur.

“Jika benar, Kementerian Belia dan Sukan akan mengambil alih Majlis Sukan Negeri Terengganu dan menyerap atlet muda mereka yang telah didiskriminasi.

“Saya sendiri akan bertemu atlet yang terkesan untuk memastikan masa depan mereka dalam sukan gimnastik tidak terjejas,” katanya di Twitter.

Menurut laporan Channel News Asia, atlet gimnastik wanita dari negeri itu yang masih meneruskan sukan itu perlu berlatih di luar Terengganu.

Laporan itu juga memetik Exco Sukan Terengganu Wan Sukairi Wan Abdullah yang berkata pelaksanaan garis panduan itu dibuat secara berperingkat.

“Kami tahu kami menguruskan manusia, bukan robot. Manusia ada perasaan, mereka boleh memberontak, menerima…Kami tidak mahu orang melihat Terengganu sebagai negeri ekstrem seperti Taliban,” katanya seperti dipetik.

Wan Sukairi juga menggariskan kepentingan “pemakaian sopan” dalam sukan adalah untuk menjaga atlet.

“Anda mungkin pernah dengar laporan berkenaan rogol dan cabul melibatkan jurulatih. Perkara ini boleh berlaku dan kita mahu elakkan ia daripada berlaku dengan memperkenalkan garis panduan yang meliputi persiapan awal untuk pertandingan,” katanya lagi.

Pada 3 September lalu, Wan Sukairi dilaporkan berkata bahawa garis panduan itu sedang dirangka dan pandangan semua pihak termasuk persatuan sukan, ahli akademik dan mufti akan diambil.

“Sukan ini (gimnastik dan gimrama) kita tidak boleh kompromi kerana ia menonjolkan aksi mengghairahkan kecuali jika hanya untuk tontonan wanita baharulah dibolehkan. Bagaimanapun, ia pastinya bercanggah dengan peraturan yang ditetapkan badan induk antarabangsa,” katanya ketika itu, yang turut mengalu-alukan mana-mana pereka fesyen yang ingin menyumbang idea untuk pakaian sukan patuh syariah.

Leave a Reply

Theme by Anders Norén