Cempedak Cheese

Portal berita terbaik anda

Politik

Karmaine lupa apa yang disebut Ahmad Faizal

Calon PH, Karmaine Sardini, mendakwa dia lupa akan kata-kata yang dikeluarkan Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu, berhubung serangan terhadap DAP ketika berkempen baru-baru ini.

“Ia berlaku di jeti Jeram Batu minggu lepas. Terdapat kira-kira empat atau lima orang, saya ada di sana tetapi saya tak ingat apa yang berlaku.

“Saya tahu mengenainya tetapi saya tidak pasti apa yang dia katakan,” kata Karmaine seperti dipetik portal The Malaysian Insight.

Karmaine, 66, yang kalah dalam PRU14 sebagai calon di Pontian, berkata dia tidak mendengar video penuh insiden yang mencetuskan kontroversi berkenaan.

Pada 8 Nov lalu, satu klip video tular di YouTube. Ia memperlihatkan Faizal dan Karmaine mengadakan perjumpaan dengan pengundi Tanjung Piai.

Dalam video itu Faizal menjelaskan bagaimana beliau seorang diri berdepan denngan pemimpin DAP melindungi kepentingan Melayu di Perak.

“Macam saya di Perak, saya seorang terkontang-kanting nak lawan dengan puak-puak DAP ini.

“Saya nak pertahankan tanah orang Melayu. Saya nak perjuangkan agama kita,” kata individu itu kepada sekumpulan orang dalam satu pertemuan tidak rasmi.

“Saya buat itu perlahan-lahan. Tapi, Alhamdulilah… kat sana (Perak) kawan-kawan Umno saya tak adalah marah saya macam ini. Kawan-kawan Umno baik dengan saya,” katanya dalam video berkenaan.

Faizal bagaimanapun menafikan perkara itu dan mendakwa berkata bahawa video yang disebarkan di media sosial itu diambil di luar konteks selain tidak merekodkan ucapan beliau secara sepenuhnya.

Kenyataan Ahmad Faizal itu kurang disenangi ketua PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak yang menyifatkan Faizal tidak sepatutnya menjadi menteri besar.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng turut meminta Faizal memberi penjelasan berhubung perkara itu.

Sementara itu, Presiden PPBM Muhyiddin Yassin berkata beliau akan meminta Ahmad Faizal memberi penjelasan dan Ketua Pemuda parti itu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata isu itu akan dibincangkan oleh Majlis Presiden Pakatan Harapan.

Leave a Reply

Theme by Anders Norén