Kanak-kanak 5 tahun maut dilanggar di depan rumah

KANAK-KANAK lelaki berusia lima tahun maut dilanggar sebuah pacuan empat roda di hadapan rumahnya di Taman Semarak, Tawau, petang semalam.

Dalam kejadian 4.20 petang itu, Nuh Muhammad Dzulqarnain Asman, 5, disahkan meninggal dunia semasa mendapatkan rawatan di Unit Kecemasan Hospital Tawau.

Difahamkan ketika kejadian, mangsa bermain di kawasan halaman rumahnya dan pada masa sama sebuah kenderaan dipandu lelaki berumur 69 tahun bersama isteri melalui kawasan perumahan itu.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata, ketika sampai di tempat kejadian, pemandu terdengar suara orang menjerit ‘budak’ sebelum dia memberhentikan kenderaannya.

Beliau berkata, sebaik lelaki itu keluar dari kenderaannya dia mendapati seorang kanak-kanak lelaki terbaring berhampiran tayar hadapan sebelah kanan.

“Mangsa yang mengalami kecederaan parah terus dibawa ke hospital, namun disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di unit kecemasan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Peter berkata, siasatan lanjut masih dijalankan dan orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta tampil untuk menyalurkan maklumat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana menyebabkan kematian dengan memandu secara melulu atau merbahaya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan ibu bapa supaya lebih peka dan memantau kegiatan anak-anak masing-masing bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.

Loading...

Leave a Reply