‘Kami budak kampung datang KL nak jadi artis popular’

0
422

KUALA LUMPUR: Pemergian penyanyi, Saleem atau AM Saleem Abdul Majeed, memberikan kesan mendalam dan meninggalkan memori tersendiri buat Amy Search.

Berkongsi kenangannya bersama bekas vokalis Iklim itu di laman sosial Instagram, hari ini, artis rock berkenaan berkata pengalaman mereka menjadi anak seni terlalu indah untuk disingkap semula.

“Dua kali sebenarnya kami pernah disatukan atas projek seni. Kali pertama untuk lagu, Isabella 98, apabila kami digabungkan bersama penyanyi, Datuk Jamal Abdillah dan Zamani. Kemudian kami bergabung lagi menerusi projek diusahakan Warner Music untuk lagu, Sesat Di Kuala Lumpur, bagi rakaman album arwah berjudul Epigoni.

“Malah, masih terngiang-ngiang lagi di ingatan, ketika arwah berkunjung ke rumah. Tak silap, waktu itu sebelum rakaman lagu berkenaan dilakukan. Kami ada bercerita mengenai kehidupan masa lalu.

“Saya ada katakan kepadanya, kami sama-sama budak kampung yang datang ke Kuala Lumpur (KL) membawa impian nak jadi artis popular. Apabila dimakbulkan impian itu, pasti ada lagi impian yang nak direalisasikan pada waktu mendatang. Tapi hanya arwah yang mengetahuinya,” tulis Amy.

Menurut Amy, 60, lagi, bukan semua orang yang menjadi artis bertuah seperti mereka, malah sebahagiannya gagal untuk menjejakkan kaki ke bidang seni.

“Ada yang dapat (menjadi artis), tetapi terkena penyakit kejutan budaya dan mula sesat di KL. Kita kena sayang bakat ini. Kita sama-sama membina nama di benua Nusantara. Selepas lagu, Isabella dan Cinta Kita, meledak di Indonesia, rezeki lagu nyanyian arwah, Suci Dalam Debu, pula menyusul serta menjadi hits.

“Malah, pada pertemuan itu, saya katakan kepadanya, mesti ada lagi perkara yang mahu dilakukan atau sudah berpuas hati dengan apa yang ada. Ketika itu, arwah sangat fokus dengan apa yang saya persoalkan dan seraya dia mengangguk kepala.

“Sebelum arwah nak balik pun, sambil ketawa saya berpesan kepadanya, kami budak kampung datang KL nak jadi ‘star’. Semua yang kami kecapi ini, Allah yang beri. Kami bersyukur saja. Insya-Allah dalam setiap pelayaran yang indah itu pasti bersulam dengan dugaan. Saya katakan lagi kepadanya, kita kena tempuh dengan tenang,” tulis Amy.

Saleem menghembuskan nafas terakhir pada usia 57 tahun di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Cheras, di sini, pada jam 6.30 pagi semalam.

Penyanyi berasal dari Terengganu itu kembali ke rahmatullah selepas 22 hari dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi, PPUKM kerana kemalangan jalan raya di Bandar Mahkota Cheras.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here