Portal berita terbaik anda

Utama

Cari pembunuh Adib, jangan sia-siakan kematiannya!

SHAH ALAM – Polis Diraja Malaysia (PDRM) digesa mencari pihak yang bertanggungjawab sehingga menyebabkan kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.

Penganalisis jenayah, Kamal Affendi Hashim berkata, pihak berkuasa perlu memastikan Muhammad Adib tidak terkorban sia-sia dan pembunuhnya perlu dikenal pasti dan diheret ke muka pengadilan.

“Bukti sudah jelas apabila inkues hari ini memutuskan kematian arwah Muhammad Adib menjurus kepada perbuatan jenayah.

“Jadi PDRM mempunyai tugas dan tanggungjawab yang lebih berat untuk mencari pelaku sebenar berdasarkan bukti, saksi serta dapatan inkues,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan Mahkamah Koroner hari ini yang memutuskan kematian Muhammad Adib akibat perbuatan jenayah oleh dua atau lebih individu yang tidak dikenali.

Kamal Affendi berkata, masyarakat menuntut keadilan buat anggota bomba terbabit.

“Mereka yang bertanggungjawab perlu segera diheret ke muka pengadilan demi kedaulatan undang-undang di negara ini. Jangan biarkan kes Muhammad Adib ini lenyap tanpa ada pihak yang menerima hukuman atau pembalasan.

“Walaupun hukuman itu tidak akan mampu mengembalikan arwah tetapi sekurang-kurangnya ia dapat memberi pengajaran kepada setiap rakyat Malaysia tanpa mengira kaum bahawa negara ini mempunyai undang-undang,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menggesa kerajaan untuk menetapkan garis panduan semua rumah ibadat di negara ini perlu dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV).

“CCTV ini perlu dipasang kira-kira 50 meter di kawasan rumah ibadat bagi membuat pemantauan sekali gus mengelakkan kejadian sama berulang,” katanya.

Keluarga Adib letak harapan terhadap Peguam Negara baharu

KUALA KEDAH – Keluarga Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim menyandarkan harapan kepada Peguam Negara baharu, Tan Sri Idrus Harun bagi mencari kebenaran di sebalik kematian Allahyarham hampir dua tahun lalu.

Bapa arwah, Mohd Kassim Abdul Hamid, 65, berkata, mereka masih menunggu tindakan seterusnya, namun masih belum nampak sebarang perkembangan selepas Mahkamah Koroner memutuskan punca kematian arwah adalah akibat perbuatan jenayah pada 27 September tahun lalu.

Mohd Kassim memberitahu, dia mahu melihat pelaku yang menjadi punca kematian Allahyarham anaknya segera dihadapkan ke muka pengadilan.

“Jangan buat seperti lepas, apabila dah tukar kerajaan dan Peguam Negara baharu ini, biarlah ada jalan baharu juga untuk keadilan (buat Allahyarham Muhammad Adib).

“Kami masih menunggu apa tindakan seterusnya selepas Mahkamah Koroner memutuskan kematian arwah disebabkan perbuatan jenayah,” katanya semasa ditemui di rumahnya di Kampung Tebengau, Kuala Kedah.

Mohd Kassim berkata, mereka sekeluarga tidak akan tenteram selagi pelaku yang menjadi punca kepada kematian arwah tidak ditangkap.

Jelasnya, beliau juga yakin bahawa rakyat di negara ini juga mahu pelaku tersebut menerima hukuman setimpal selain mahu mengetahui kebenaran di sebalik peristiwa berkenaan.

“Rakyat Malaysia tahu perkembangan kes ini (setakat mana), saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang membantu terutama peguam yang memberikan perkhidmatan percuma kepada keluarga saya,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, Mohd Kassim berkata, beliau difahamkan peguam keluarganya sedang membawa kes saman terhadap bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas ke Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Selasa ini.

“Surat pemberitahuan mengenai perkara itu sampai tiga hari lalu. Saya mengharapkan kes ini akan dapat berjalan lancar,” katanya.

Pada 27 November 2018, Muhammad Adib parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya.

Bagaimanapun, selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember 2018 di Institut Jantung Negara (IJN).

Rindu bapa terluah setahun selepas pemergian Muhammad Adib

Walaupun sudah genap setahun pemergian Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim, segala kenangan bersama arwah masih segar dalam ingatan dan tidak akan pernah dapat dilupakan.

Itu antara luahan yang disampaikan bapa arwah Adib, Mohd Kassim Abd Hamid, 63 tahun, menjelaskan saat-saat bersama arwah adalah perkara pertama yang muncul di fikirannya apabila setiap kali nama Muhammad Adib disebut dihadapannya.

Walau bagaimanapun, beliau dan keluarganya sentiasa redha dengan ketentuan ini dan menyifatkan kehidupan keluarganya tetap berjalan seperti biasa walaupun tanpa kehadiran arwah Adib disisi.

“Itu kehidupan kami macam biasa, kita tunggu (keputusan) setahun yang lepas, kita cuma duduk tunggu keputusan inkues, pastu dah okay, tunggu keputusan yang betul, kisah sebenar apa yang terjadi, tunggu sahaja, kehidupan kami macam biasa cuma … (tapi) kenangan (bersama Adib) tu adalah … kenangan (ibu bapa) terhadap anak kami.”

Mohd Kassim berkata demikian ketika ditemui wakil Astro AWANI di kediamannya di Kampung Tebengau, Kuala Kedah awal pagi tadi.

Sementara itu, pemergian arwah Muhammad Adib, sewaktu bertugas bukan sahaja menghadirkan rasa sayu buat seluruh rakyat negara ini malah ianya merupakan satu kehilangan besar buat penduduk di sekitar kampung asalnya, di Kampung Tebengau, Kuala Kedah.

Menurut Ahli Jawatakuasa Kariah Masjid Kampung Tebengau, Zulkifli Shaari, 59 tahun, ketiadaan insan seperti Muhammad Adib sememangnya dirasai memandangkan arwah merupakan antara anak muda sering ke masjid dan bergaul bersama ahli kariah di situ…

Tambahnya yang juga seorang pesara guru, sikap arwah yang sentiasa merendah diri dan menghormati semua orang juga sangat disenangi penduduk menyebabkan insan yang bernama Muhammad Adib sentiasa dekat di hati mereka.

“Arwah Adib meninggal dunia dalam keadaan tragis, jadi kita sangat terkilan kalau arwah tidak dibela, tidak patut sangat, kena bela juga (bagi) keadilan.

“Arwah ada menyertai semua aktiviti masjid, maklumlah dia kerja kalau cuti baru ikut serta aktiviti,, memang adalah (sertai) dengan ayah dia, sebab ayah dia orang masjid, tiap waktu ada, dan dia pun baik dengan keluarganya sendiri, kereta pun dia bagi, semua dia buat,” katanya.

Zulkifli turut menyifatkan arwah sebagai seorang yang hebat yang banyak berjasa dan menyenangkan keluarganya walaupun beliau telah meninggal dunia setahun yang lalu.

Tegasnya, dia berharap agar anak muda bukan sahaja di Kampung Tebengau malah di luar sana dapat mencontohi sikap Muhammad Adib yang berani dan sanggup berkorban dalam mempertahankan kesejahteraan negara.

Tanggal 17 Disember tahun lalu, sekitar jam 9.41 malam sejarah hitam tercatat buat seluruh rakyat Malaysia, apabila wira negara, Muhammad Adib disahkan meninggal dunia selepas hampir tiga minggu bertarung nyawa di Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur.

Allahyarham sebelum itu dilaporkan mengalami kecederaan parah sewaktu menjalankan tugas dalam insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di Subang jaya, pada 27 November, 2018.

Loading...

Leave a Reply