‘Kalaulah saya tak terlelap, mungkin ibu dan adik masih hidup’

0
1748

CHUKAI: “Saya cuba bantu ibu yang ketika itu tersepit akibat besi penghadang jalan menembusi kereta, namun gagal,” kata Mohd Shahrul Ikhram Mazlan, 20, yang terbabit dalam kemalangan mengorbankan ibu dan tiga adiknya, di Kilometer 161.3, Lebuh Raya Pantai Timur (LPT), dekat Maran, Pahang, pagi semalam, yang mengorbankan ibu dan tiga adik beradiknya.

Beliau berkata, ketika itu dia baru dua minit berbual dengan ibunya sebelum tiba-tiba terdengar seperti bunyi letupan lalu kereta mereka terbabit kemalangan.

Mohd Shahrul Ikram berkata, dia yang memandu kenderaan dinaiki mereka sekeluarga terkilan dan sedih kerana tidak dapat menyelamatkan ahli keluarganya itu.

Katanya, sebelum tragedi itu ibu dan adik-adiknya sangat teruja berbelanja sepanjang berada di Kuala Lumpur sejak Jumaat lalu, sebelum bertolak pulang kira-kira jam 1 pagi hari kejadian.

“Kami sekeluarga tiba di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Temerloh kira-kira jam 3 pagi dan sempat bersahur di situ.

“Selepas bersahur kami semua solat Subuh dan menyambung tidur di dalam kereta sehingga jam 8 pagi. Saya memandu menyambung perjalanan ke Kemaman.

“Ketika memandu, ibu tiba-tiba terjaga dan bertanya kami di mana dan saya jawab kita di Maran dan ibu kemudiannya menyambung tidur,” katanya.

Dia yang hanya cedera ringan memandu tidak laju kerana teringat pesanan ibu supaya memandu perlahan dan sebaik tiba di tempat kejadian, kereta tiba-tiba tersasar ke tepi dan sebaik tersedar dia mendapati sudah merempuh penghadang jalan.

“Ketika itu kami semua tersepit di tempat duduk dan ibu serta tiga adik beradik lain ketika itu tidak sedarkan diri sebelum kami semua dikeluarkan orang ramai dan anggota bomba,” katanya ketika ditemui selepas pengebumian ahli keluarganya itu di Tanah Perkuburan Islam Bandar Cheneh Baru di sini, malam tadi.

Kemalangan kira-kira jam 8.30 pagi semalam itu, mengorbankan ibunya Azian Abdulah, 50, serta tiga adik beradiknya, Fatin Najwa Mazlan, 27, Fatin Nur Ardiana Mazlan, 15 dan Mohamad Danish Najmi Mazlan, 10.

Seorang lagi adiknya, Fatin Nur Athirah, 19, cedera parah dan kini menerima rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here