‘Kalau Tony Pua jantan, turun berdepan demo kami esok’

Setiausaha politik menteri kewangan Tony Pua dicabar berdepan dengan pemandu teksi yang akan berdemonstrasi membantah perbincangan kerajaan dengan Grab untuk perkhidmatan pengangkutan perantara ke stesen MRT.

Penganjurnya Datuk Shamsubahrin Ismail sekali lagi berkata lebih 3,000 pemandu teksi dijangka berkumpul di Putrajaya, esok.

“Kenapa perbincangan dilakukan hanya dengan Grab sedangkan ada 43 penyedia perkhidmatan e-hailing lain?

“Dan bagaimana nasib pemandu teksi yang selama ini beratur di stesen LRT dan MRT?

“Kalau Tony Pua anak jantan, dia kena turun berjumpa dengan kami esok. Saya akan ada di depan, mengetuai demonstrasi,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.

Pada 9 Oktober lalu, Pua ada mengeluarkan kenyataan bahawa kerajaan sedang berbincang dengan penyedia perkhidmatan Grab memandangkan harga yang ditawarkan syarikat itu lebih murah berbanding bas ulang-alik.

Shamsubahrin memberi amaran, jika Pua tidak muncul, mereka akan mengadakan perhimpunan susulan di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) dan mogok pada hari itu.

“Kalau masih tak berjaya, kami akan berdemo kali ketiga di depan rumah Tony Pua sendiri,” katanya yang juga juga penasihat syarikat Big Blue Taxi Facilities Sdn Bhd.

Demonstrasi yang akan dijalankan di depan bangunan Kementerian Kewangan di Putrajaya itu dijangka disertai pemandu teksi dari Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

Shamsubahrin turut membangkitkan janji Menteri Pengangkutan Anthony Loke bahawa pemandu e-hailing perlu berdaftar dengan kerajaan dan mengikut syarat seperti yang harus dipatuhi pemandu teksi.

“Sampai hari ini, penguatkuasaan tersebut tidak dijalankan. Dan tiba-tiba kami dengar pula pengumuman tentang perbincangan untuk bekerjasama dengan Grab dari Tony Pua,” katanya lagi.

Loading...
Published
Categorized as Utama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *