Portal berita terbaik anda

Utama

Kalau tak mampu pertahan, jangan sesekali kita kecam etnik Rohingya

Kita semua mesti pernah dengar kata pepatah ‘kerana nila setitik rosak susu sebelanga’. Maksudnya, hanya kerana salah seorang atau kejahatan sesuatu yang kecil, habis sekumpulan atau seluruh masyarakat akan turut mendapat nama yang buruk.

Kebelakangan ini, etnik Rohingya dikecam dan dihina oleh netizen dan rakyat negara ini. Ia berpunca daripada beberapa berita palsu dan kenyataan seorang dua mengenai mereka.

Berita palsu juga muncul dengan tuduhan liar, antaranya pelarian Rohingya mahu menuntut kerakyatan dan kedudukan setaraf.

Ia turut dikaitkan dengan tindakan pasukan keselamatan Malaysia yang menyekat kemasukan bot pelarian tersebut pada 17 April lalu. Bagaimanapun, kecaman keterlaluan ke atas pelarian Rohingya yang di negara ini amatlah tidak adil.

Kalaupun kita tidak mahu mempertahankan hak mereka sebagai Muslim, janganlah sesekali kita memburukkan mereka.

Jangan kita bunuh nilai kemanusiaan hanya kerana tingkah laku beberapa individu dalam komuniti tersebut.

Masyarakat di Malaysia seakan-akan hilang kewarasan hanya kerana fakta atau berita yang belum tentu benar terutama di media sosial.

Kita perlu terus simpati dengan orang Rohingya. Mereka ialah orang pelarian. Mereka tiada apa-apa, tidak boleh bekerja, tiada dokumen, tiada wang sara hidup, tidak boleh ke sekolah dan sering dimanipulasi.

Keadaan ini akan bertambah buruk dengan sentimen anti-Rohingya sekarang. Kita jangan terperangkap dengan mainan politik untuk memecahbelahkan umat Islam.

Namun dalam masa sama, etnik Rohingya dalam negara ini juga perlu menghormati undang-undang dan sensitif dengan sentimen serta kebimbangan rakyat Malaysia.

Berhenti burukkan warga Rohingya

Dua orang mufti mengingatkan masyarakat Muslim di Malaysia bahawa Islam menghendaki penganutnya sentiasa bersimpati dan berkasih sayang antara satu sama lain.

Ini susulan serangan bertali arus yang mengkritik dan mengecam pelarian Rohingya dipercayai berpunca daripada satu berita palsu yang mendakwa etnik itu menuntut hak sama rata dan kerakyatan penuh di negara ini.

“Cubalah letakkan diri kita di tempat saudara kita yang terpaksa melarikan diri dari tanah air mereka seperti pelarian Rohingya ini,” kata Mufti Pulau Pinang Wan Salim Wan Mohd Noor kepada FMT.

Katanya, umat Islam di Malaysia sentiasa dikurniakan nikmat keamanan dan keselamatan. Malah, ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) berjalan, tiada pihak yang ketinggalan dalam mendapatkan keperluan asas bagi kehidupan harian.

Atas sebab itu, beliau menyeru agar mereka berlembut hati terdahap nasib malang yang menimpa umat Islam di negara lain.

“Lebih-lebih lagi terhadap saudara seakidah yang ditindas dan dizalimi.”

Selepas presiden Pertubuhan Hak Asasi Manusia Etnik Rohingya Myanmar Malaysia (Merhrom) Zafar Ahmad Abdul Ghani menjadi mangsa kepada penyebaran berita palsu, rata-rata pengguna media sosial dilihat mula menggesa Putrajaya menghantar etnik itu pulang semula ke negara asal, iaitu Myanmar.

Bagaimanapun, Wan Salim berkata, tindakan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menolak bot yang membawa pelarian Rohingya adalah demi kedaulatan dan keselamatan negara.

“Cuma kita harapkan pihak kerajaan dapat bertindak secara waras dan berperi kemanusiaan dalam menangani isu pelarian Rohingya.

“Ini bagi mengelakkan tragedi kemanusiaan berlaku ke atas mereka,” katanya.

Sementara itu, Mufti Pahang Abdul Rahman Osman berkata, isu membabitkan komuniti Rohingya di negara ini sengaja diperbesar-besarkan oleh pihak tertentu yang berniat untuk melaga-lagakan komuniti itu dengan rakyat Malaysia.

Baginya, rakyat Malaysia secara tidak langsung perlu membantu komuniti Rohingya kerana mereka merupakan golongan yang secara jelas memerlukan bantuan, setelah terpaksa lari dari negara asal selepas mendapat ancaman.

“Pada bulan Ramadan ini, kita hentikanlah berbalah atau memburukkan antara satu sama lain dalam mana-mana media sosial. Berpuasa ini tujuannya adalah untuk membersihkan hati, serta perlu juga menahan lidah, mata dan telinga.

“Jika tidak, apa yang kita lakukan ini hanyalah semata-mata menahan lapar dan dahaga sahaja.

“Kenapa hendak besar-besarkan benda ini, sedangkan isunya tidak ada. Saya tidak nampak. Mungkin ada seorang atau 2 orang Rohingya ini yang mengeluarkan kenyataan tertentu, tetapi ia hanya dilakukan orang itu sahaja, bukan semua mereka.

“Dalam isu Rohingya, kita sebagai umat Islam sepatutnya balaslah kejahatan dengan kebaikan, seperti dalam hadis Rasulullah yang menyebut kita kena membantu orang yang dizalimi serta mencegah kezaliman,” katanya.

Loading...

Leave a Reply