‘Kalau PH kekal gaya sekarang, lupakan sahaja PRK Rantau’ – Pemuda PAN

KUALA LUMPUR – Pemuda PAN memberi amaran kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) agar segera membuat perubahan dengan menunaikan segala janji dan menunjukkan pentadbiran yang baik.

Bagaimanapun, jika kerajaan masih kekal dengan gaya dan kaedah pentadbiran sekarang, sayap PAN itu menasihatkan agar PH tidak perlu masuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau yang dijadualkan berlangsung tidak lama lagi.

Tegas Ketuanya, Mohd Sany Hamzan, sayap itu melihat kekalahan calon dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Muhammad Aiman Zainali pada PRK Semenyih malam tadi merupakan satu mesej besar rakyat kepada PH.

“Biarpun pada PRU14 PH memenangi kerusi tersebut dengan majoriti yang sangat besar, namun PH telah gagal untuk mempertahankannya kali ini.

“PH harus melihat keputusan PRK DUN Semenyih adalah teguran rakyat kepada kerajaan yang dilihat gagal untuk mentadbir dengan baik, selain gagal melunaskan janji yang telah dibuat ketika PRU14 yang lalu.

“Ini merupakan amaran merah kepada PH agar mengubah pendekatan dan gaya pentadbiran supaya lebih sistematik dan tersusun, selain mengurus krisis dan isu yang berbangkit dengan baik,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Dalam PRK semalam, calon Barisan Nasional (BN), Zakaria Hanafi berjaya merampas kembali kerusi DUN itu apabila menewaskan Muhammad Aiman dan dua calon lain dengan majoriti 1,914 undi.

Zakaria mendapat 19,780 undi, manakala Muhammad Aiman dari PH memperoleh 17,866 undi, calon PSM, Nik Aziz Afiq Abdul hanya mendapat 847 undi dan calon bebas, Kuan Chee Heng memperolehi 725 undi.

Menurut Mohd Sany, ‘teguran’ baik oleh rakyat itu adalah tanda mereka masih memberikan harapan agar PH membuat sesuatu supaya mereka mampu merealisasikan gaya pentadbiran seperti yang ditawarkan sebelum ini.

Kata beliau, kerajaan perlu muhasabah diri dan mengambil serius keputusan itu demi survival politik di masa akan datang.

“Kami percaya rakyat belum kecewa dan menyampah di tahap apa yang dihadapi oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika PRU14 dahulu.

“Sementara rakyat masih rasional dan memberi harapan, PH perlu melakukan sesuatu,” katanya. – MalaysiaGazette

Loading...

Leave a Reply