‘Kalau masih RM100 saya takkan mohon dah’ – Pak Ishak

KUALA TERENGGANU – Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) yang tular kerana isu Bantuan Sara Hidup (BSH) baru-baru ini tidak berhasrat untuk memohon bantuan itu lagi selagi jumlah yang layak diterimanya kekal RM100.

Ishak Awi, 59, berkata, keputusan itu dibuat ekoran kekecewaannya dengan proses BSH yang tidak sebaik ketika di bawah pentadbiran kerajaan terdahulu.

Walaupun tergolong dalam individu yang layak menerima BSH RM100 tersebut, dia menganggap bantuan kali ini bukan rezekinya tetapi milik orang lain yang lebih memerlukan.

“Kalau RM100, tak apa lah. Mula-mula tak nak bagi lepas tu nak bagi.

“Kalau buleh (dapat) RM450 macam Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) baru pok (pakcik) naik pejabat (Lembaga Hasil Dalam Negeri) daftar,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Semalam, Kementerian Kewangan menafikan dakwaan bahawa golongan OKU bujang, ibu bapa tunggal dan warga emas tidak menerima bantuan BSH.

Kementerian dalam satu kenyataan memberitahu, merujuk kepada golongan OKU, kerajaan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) membantu lebih daripada 140,000 OKU dengan bantuan elaun pekerja cacat atau bantuan OKU tidak berupaya bekerja.

Katanya, oleh itu, individu yang dilaporkan telah pun menerima elaun pekerja cacat sebanyak RM400 sebulan dan layak menerima bayaran BSH untuk kategori bujang sebanyak RM100. – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *