Cempedak Cheese

Portal berita terbaik anda

Politik

Kadir lepas jawatan ketua media Majlis Penasihat Kerajaan

Wartawan veteran Datuk A Kadir Jasin hari ini meletakkan jawatannya sebagai Ketua Media dan Komunikasi Majlis Penasihat Kerajaan.

Katanya peletakan jawatan itu berkuat kuasa serta-merta.

Beliau yang sebelum ini pernah menjadi ketua pengarang kumpulan The New Straits Times Press (M) Bhd berkata langkah yang diambil itu dibuat bagi mengelak kekeliruan di kalangan masyarakat.

“Ini adalah semata-mata keputusan saya demi mengelak kekeliruan di kalangan anggota masyarakat berkaitan peranan saya dalam Majlis Penasihat Kerajaan, serta pandangan saya di dalam blog serta kolum mingguan di akhbar Sinar Harian,” katanya.

Menurut Kadir, walaupun bertugas sebagai ketua media dan komunikasi kepada majlis yang ditubuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tulisan beliau di blognya bersifat pandangan peribadi.

“Segala pendapat yang saya zahirkan di dalamnya adalah pendapat saya semata-mata.

“Saya menulis atas kapasiti sebagai seorang bloger dan tiada kaitan dengan sebarang jawatan yang mungkin saya pegang,” katanya.

Bagaimanapun, menurut Kadir ada wartawan dan pihak lain yang memetik pandangan itu dan mengaitkannya dengan kedudukan beliau sebagai Ketua Media dan Komunikasi Majlis Penasihat Kerajaan.

Bagi mengelak kesipuan kepada majlis itu serta dan percanggahan kepentingan di pihaknya, Kadir berkata, beliau mengundurkan diri.

“Hal ini telah dipersetujui oleh Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin.

“Saya mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Daim atas kepercayaan dan keyakinan mereka kepada saya,” katanya.

Leave a Reply

Theme by Anders Norén