Kad kahwin Adib runtun hati netizen

KUALA LUMPUR – Kad undangan ke majlis perkahwinan tertera nama pegawai bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim dan tunangnya yang tular di media sosial sejak malam tadi mengundang kesedihan netizen.

Allahyarham sebelum ini dijangka melangsungkan pernikahan dengan tunangnya, Nurul Najihah Mohd Radzi Jumaat ini.

Majlis perkahwinan di rumah keluarga perempuan sepatutnya diadakan Sabtu ini manakala bagi keluarga lelaki pula dijadual pada Ahad ini.

Dalam kad kahwin itu dinyatakan majlis perkahwinan Allahyarham dijadual berlangsung di rumah keluarga kedua-dua pihak di Alor Setar, Kedah.

Bagaimanapun, Muhammad Adib meninggal dunia malam tadi, lima hari sebelum sempat dirai sebagai pengantin baharu.

Pelayar Facebook, Lea Derma di ruangan komen berharap tunang Allahyarham tabah dengan apa yang berlaku.

“Innalillawainailahirojiun… Tuhan lagi maha segalanya.. Mungkin tidak berjodoh di dunia..namun berjodoh di syurga..insyaALLAH Al fatihah..

“Moga roh beliau ditempatkan dalam kalangan orang-yang beriman..dan pada ahli keluarga beliau harap tabah..pada cik tunang beliau..doa sentiasa bersama kamu..,” muat naiknya.

Labna Al Nahdi pula berharap tunang Allahyarham diberi kekuatan menghadapi ketentuan.

“Semoga tunang wira Adib diberi ketabahan, kesabaran dan kekuatan untuk menghadapi kehilangan ini, inshAllah .#JusticeForAdib,” tulisnya.

Terdahulu, Nurul Najihah yang menghitung hari untuk disatukan dengan Muhammad Adib, anggota bomba yang cedera parah dalam insiden rusuhan dekat Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya terus berharap agar tunangnya segera sembuh.

Kata-kata penuh pengharapan itu dititipkan gadis berusia 25 tahun itu menerusi posting di Facebook miliknya, awal Disember lalu.

“Disember. Menghitung hari untuk kita. Hari yang kita dua tunggu. Semoga kamu kuat. Orang tunggu kamu. Muhammad Adib,” kata Nurul Najihah.

You might like

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *