Jurutera kusut dengan masalah dilaporkan hilang

KOTA BHARU: Seorang jurutera dilaporkan hilang selepas gagal dikesan ahli keluarganya sejak Khamis lalu.

Mohd Faiz Nazmi Norol Azani, 35, yang bertugas di sebuah syarikat swasta di Kuala Lumpur, juga dikatakan tidak hadir ke tempat kerja.

Bapanya, Norol Azani Mohamed Noor, 56, berkata kali terakhir mereka bertemu pada 9 Februari lalu ketika anak sulung daripada enam beradik itu pulang ke kampung sempena cuti Tahun Baharu Cina.

“Ketika anak mahu bertolak pulang ke Kuala Lumpur, berlaku sedikit ketegangan antara saya dengan Mohd Faiz Nazmi berhubung masalah keluarga.

“Saya ada menasihatinya yang kelihatan kusut dengan masalah kerana Mohd Faiz Nazmi baru lapan bulan bercerai dengan bekas isteri dan kes mereka masih dalam perbicaraan di mahkamah.

“Mohd Faiz Nazmi kemudian bertolak pulang bersama adiknya, Nurul Fariha Syahirah, 25, dalam keadaan marah. Sebaik tiba di Kuala Lumpur, anak perempuan ada menghubungi memaklumkan mereka selamat sampai,” katanya.

Bagaimanapun, Norol Azani berkata, isterinya, Rosmah Abdul Rahman, 52, memaklumkan gagal menghubungi Mohd Faiz Nazmi sejak Khamis lalu.

“Bimbang ada perkara buruk berlaku, saya menghubungi majikan Mohd Faiz Nazmi tetapi dimaklumkan anak juga tidak hadir ke tempat kerja.

“Kami turut mencari di rumahnya di Sri Kembangan, Selangor, tetapi Mohd Faiz Nazmi tiada. Bagaimanapun, keretanya ada di kawasan parkir.

“Malah, pengawal keselamatan yang mengenali anak saya, memaklumkan bahawa Mohd Faiz Nazmi tidak pulang ke rumah,” katanya.

Susulan itu, Norol Azani berkata, beliau membuat laporan polis, kelmarin, dan berharap Mohd Faiz Nazmi pulang segera kerana keluarga bimbangkan keselamatannya.

“Saya risau jika kehilangan Mohd Faiz Nazmi ada unsur jenayah dan berharap pihak berkuasa berjaya menemuinya,” katanya.

Loading...

Leave a Reply