Juruteknik MAHB dilanggar pesawat VVIP meninggal dunia

KUALA LUMPUR – Juruteknik Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) yang parah dirempuh sebuah pesawat persendirian di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang semalam disahkan meninggal dunia pada pukul 6.45 petang di sebuah hospital swasta sekitar Subang Jaya di sini sebentar tadi.

Difahamkan, arwah Mohd. Ruzaimi Iskandar Ahmad Razali, 39, meninggalkan seorang isteri Nor Azawiah Md. Usuf dan empat anak berusia dalam lingkungan satu hingga 13 tahun.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAHB, Raja Azmi Raja Nazuddin berkata, arwah Mohd. Ruzaimi merupakan seorang pekerja yang berdedikasi dan sentiasa komited dalam apa jua tugasan yang diberikan.

“Pemergian Mohd. Ruzaimi merupakan satu kehilangan besar buat Malaysia Airports dan kita akan memberi sokongan penuh terhadap keluarga mangsa termasuk membantu pengurusan pengebumian arwah bagi meringankan beban yang terpaksa dipikul mereka.

“Dalam pada itu, kita juga akan memastikan kebajikan keluarga arwah Mohd. Ruzaimi terjamin dan saya memohon orang ramai agar tidak mengeluarkan sebarang spekulasi yang mampu mengguris hati keluarga mangsa,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. – K! ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *