Jururawat, bayi maut kemalangan kereta bertembung lori

KUANTAN – Seorang jururawat Hospital Segamat Johor serta bayinya yang berusia lapan bulan maut dalam kemalangan melibatkan sebuah kereta dan lori di jalan utama Felda Selancar, Muadzam Shah, Rompin pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Rompin, Asistan Superintandan Azli Mohd. Noor berkata, dalam kejadian pada 9.30 pagi itu, kereta jenis Produa Alza yang dipandu mangsa, Rahimah Jaffar, 34, dari simpang Selancar menghala ke Perwira Jaya terbabas ketika dipercayai cuba mengelak lubang sebelum memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan sebuah lori.

Beliau berkata, kemalangan itu menyebabkan Rahimah maut di tempat kejadian manakala bayinya, Muhammad Zamil Abdul Aris yang diletakkan di atas kerusi bayi di tempat duduk hadapan kereta meninggal dunia di Klinik Kesihatan Perwira Jaya pada pukul 10.20 pagi.

Azli berkata, seorang lagi anak mangsa, Firas, lima tahun, yang berada di tempat duduk belakang dilaporkan kritikal manakala pemandu lori Mohd. Saiful Basar, 33, patah kaki kanan.

Kedua-dua mereka kini dirawat di Hospital Segamat.

Beliau berkata, jenazah kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Muadzam Shah, Rompin untuk bedah siasat. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *