Jin Wei raih Kejuaraan Badminton Remaja Dunia buat kali kedua

0
49

KUALA LUMPUR – Pemain muda wanita negara, Goh Jin Wei mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa apabila meraih Kejuaraan Badminton Remaja Dunia BWF di Markham, Kanada pada Ahad (Isnin di Malaysia).

Pemain pilihan ketiga itu menampilkan aksi bertenaga dengan menewaskan pilihan ke-13, Line Christophersen dari Denmark menerusi kemenangan 21-13 dan 21-11 pada aksi final di Markham Pan Am Centre, demikian menurut laman sesawang Persekutuan Badminton Dunia (BWF); www.bwfbadminton.com.

Kejuaraan tersebut adalah yang kedua diraih anak jati Pulau Pinang itu yang pernah menjuarai kejohanan sama pada 2015 setelah menewaskan rakan senegara, Lee Ying Ying pada aksi final.

Jin Wei sebelum ini turut mengharumkan nama negara apabila mencipta sejarah menjadi atlet pertama Malaysia memenangi pingat emas pada edisi ketiga Sukan Olimpik Remaja di Buenos Aires, Argentina bulan lepas.

Dalam pada itu, pasangan beregu wanita negara, Pearly Tan Koong Le-Toh Ee Wei yang merupakan pilihan ketiga, gagal mengulangi kecemerlangan dilakar Jin Wei setelah kalah 16-21 dan 16-21 kepada pilihan utama, Liu Xuanxuan-Xia Yuting dari China. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here