Jenazah empat beranak selamat dikebumikan

0
663

KEMAMAN – Jenazah empat beranak yang maut dalam kemalangan ketika pulang dari membeli kelengkapan raya pagi tadi selamat disemadikan dalam satu liang lahad pada jam 12 tengah malam, sebentar tadi.

Jenazah mangsa, Azian Abdullah, 50, dan tiga anaknya termasuk anak bongsu; Fatin Najwa Mazlan, 27; Fatin Nur Adriana, 15, dan Mohamad Danish Najmi, 10, tiba di Tanah Perkuburan Islam Bandar Cheneh Baru, di sini, sekitar jam 10.50 malam.

Suasana pilu menyelubungi tanah perkuburan itu ketika ahli keluarga Allahyarhamah Azian termasuk anaknya yang tercedera, Fatin Nur Athirah, 19, dan Mohd Shahrul Ikhram, 20, menatap dan mengucup dahi satu persatu jenazah ibu dan adik mereka yang meninggal dunia.

Kira-kira 500 orang ramai yang hadir ke tanah perkuburan itu bagi memberi penghormatan akhir kepada kesemua mangsa juga kelihatan tersentuh hati tatkala melihat satu persatu jenazah mangsa diturunkan ke liang lahad.

Suami dan bapa mangsa, Mazlan Mohd Rashid, 48, yang juga Pegawai Felcra kelihatan tabah ketika pengebumian itu dilakukan.

Terdahulu, empat jenazah berkenaan itu tiba di Surau Al-Ridhuan, Peringkat 4, Bandar Cheneh Baru, kira-kira jam 10.15 malam dari Hospital Jengka, Pahang.

Ketibaan jenazah disambut dan disembahyangkan kira-kira 1,000 orang jemaah.

Empat beranak berkenaan terbunuh dalam kemalangan ngeri di Kilometer 161.4 Lebuhraya Pantai Timur (LPT), arah Timur di Maran, Pahang, kira-kira jam 8.30 pagi tadi.

Ketika kejadian, Azian yang juga peniaga kedai runcit beraama lima anaknya dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Taman Gemilang, Bandar Cheneh Baru selepas selesai membeli belah persiapan menyambut Syawal di Kuala Lumpur.

Ekoran kejadian itu, dua lagi anaknya, Fatin Nur Athirah dan Mohd Shahrul Ikhram, 20, yang memandu kereta turut mengalami kecederaan.

Kemalangan berlaku selepas anak mangsa yang memandu dipercayai mengantuk menyebabkan kereta Perodua Myvi yang dinaiki enam beranak itu terbabas melanggar hujung pembahagi jalan mengakibatkan kenderaan itu ditembusi besi pembahagi berkenaan hingga mangsa tersepit di tempat duduk masing-masing.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here