Portal berita terbaik anda

Utama

Jenazah Afiq Ikmal selamat dikebumi

SUNGAI PETANI – Jenazah Mohd. Afiq Ikmal Muhammad Zaini, 23, yang merupakan penerima hati pertama negara selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al Barakah, Tikam Batu di sini kira-kira pukul 6 petang ini.

Allahyarham Mohd. Afiq Ikmal meninggal dunia pada pagi tadi selepas 18 hari bertarung nyawa di Hospital Selayang, Selangor.

Terdahulu, van membawa jenazah Mohd. Afiq Ikmal tiba di rumah datuknya di Kampung Masjid, Tikam Batu di sini pada pukul 3.15 petang sebelum disembahyangkan di Masjid Al Barakah selepas solat Asar pada pukul 5.15 petang.

Majlis pengebumian yang dihadiri lebih 50 ahli keluarga, kenalan serta penduduk kampung itu berlangsung selama kira-kira setengah jam dan selesai pada pukul 6 petang.

Turut kelihatan penderma hati kepada arwah iaitu Wan Mohd. Hafizam Wan Ismail, 45.

Arwah sebelum ini berada dalam keadaan kritikal selepas tidak sedarkan diri akibat komplikasi hati pada 13 Februari lalu.

Kisah dua individu itu pernah menggemparkan seluruh tanah air pada 23 tahun lalu selepas Wan Mohd. Hafizam mendermakan sebahagian hatinya kepada Mohd. Afiq Ikmal yang berusia 14 bulan ketika itu walaupun tiada pertalian darah antara mereka. – K! ONLINE

Loading...

Leave a Reply