Portal berita terbaik anda

Utama

Jemaah haji meninggal dunia dalam perjalanan ke Makkah

KUALA NERUS – “Ayah memang berhajat meninggal (dunia) di Makkah dan Allah memakbulkan hasratnya,” kata Ahmad Nasir, 56, anak kepada Hamzah Mohamad, 80, jemaah haji yang meninggal dunia ketika dalam penerbangan ke Tanah Suci, Khamis lalu.

Ahmad Nasir berkata, arwah bapanya tidak membawa persiapan lain kecuali masing-masing sehelai Baju Melayu dan pakaian ihram bersama buku agama, termasuk berkaitan panduan ibadah haji.

“Tidak banyak barang dibawanya ke Tanah Suci. Ayah seolah-olah dapat rasa dia akan meninggal (dunia) di sana,” katanya ketika ditemui di Kampung Bukit Tok Beng, Seberang Takir, di sini.

Katanya, arwah bapanya itu yang juga pesara guru di Sekolah Rendah Bukit Tok Beng, di sini sering menyatakan tidak akan pulang lagi ke kampung selepas menunaikan haji kali ini.

“Arwah ke Tanah Suci ditemani adik ipar dan seminggu sebelum penerbangannya, dia ke rumah adik ipar di Kuala Lumpur. Pada malam arwah bertolak ke Kuala Lumpur, dia ada beritahu yang tidak akan balik lagi ke kampung.

“Arwah sebenarnya sudah banyak kali ke Makkah mengiringi jemaah haji dan setiap tahun arwah mengucapkan kata-kata sama menyebabkan kami sudah lali tetapi tidak sangka tahun ini kata-kata arwah itu menjadi kenyataan,” katanya.

Allahyarham Hamzah dari Perumahan Rumah Murah, Kampung Telaga Daeng, Seberang Takir dilaporkan meninggal dunia di tempat duduknya dalam penerbangan MH8170 akibat sesak nafas pada jam 1.50 petang waktu Jeddah (jam 7.30 malam waktu tempatan), kira-kira sejam sebelum mendarat di Jeddah.

Ahmad Nasir berkata, dia dan keluarga bersyukur kerana Allah memakbulkan hajatnya untuk meninggal dunia di tanah suci dan reda dengan pemergiannya.

“Kami adik beradik akui memang sedih dengan pemergian Ayah. Memang kami terkejut apabila adik ipar telefon memberitahu Ayah sudah tiada. Namun, kami bersyukur kerana hajat Allah memakbulkan hajat Ayah,” katanya.

Katanya, jenazah bapanya disembahyangkan di Masjid Althinyan, Jeddah sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Makbarah Alsalihiyyah, Jeddah jam 6 pagi waktu tempatan 12 tengah hari waktu Malaysia).

“Beberapa minggu sebelum ke Makkah, Ayah yang hidup sendirian selepas kematian ibu sudah menunjukkan perubahan apabila banyak menghabiskan masa di rumah bersama keluarganya di Kampung Bukit Tok Beng.

“Kebiasaannya arwah `tidak lekat’ di rumah dan banyak masanya dihabiskan di luar rumah berjumpa kenalan atau bersembang di kedai kopi. Namun, sejak akhir-akhir ini dia banyak menghabiskan masa di rumah sehinggakan ada rakan-rakannya yang perasan dengan perubahan sikapnya,” katanya.

Loading...

Leave a Reply