Portal berita terbaik anda

Utama

Jasa Abdul Bari akan dianugerah penghargaan

KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri akan menganugerahkan penghargaan untuk Abdul Bari Asyraf Mohd, 31, sebagai mengenang jasa arwah yang terkorban ketika berusaha menyelamatkan lima sekeluarga dalam insiden kenderaan pacuan empat roda terjunam ke muara Sungai Terengganu, malam kelmarin.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah, berkata penghargaan yang belum ditentukan bentuknya itu akan diberi sebagai penghargaan atas keberanian dan sifat terpuji Allahyarham.

“Sebagaimana kita tahu, Allahyarham melakukan sesuatu yang terpuji apabila mempertaruhkan nyawanya untuk menyelamatkan bukan hanya seorang tetapi lima mangsa dalam kejadian itu.

“Dalam keadaan arus sungai di situ agak deras, Allahyarham sanggup terjun. Malah, Allahyarham adalah yang pertama terjun ke sungai untuk menyelamatkan mangsa.

“Difahamkan, Allahyarham sempat membantu menyelamatkan dua mangsa, namun akhirnya beliau terkorban.

“Ini satu sikap dan akhlak sangat terpuji. Saya sendiri akan mengusulkan dalam Mesyuarat EXCO, minggu ini, supaya anugerah khas diberikan untuk Allahyarham Abdul Bari atas kejayaan serta sifat terpuji beliau yang patut dicontohi seluruh belia dan rakyat Terengganu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika menziarahi jenazah dan keluarga mangsa di Unit Forensik, Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, hari ini.

Mayat Abdul Bari berjaya ditemui kira-kira 2.5 kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang, oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) serta orang awam pada jam 7.23 pagi tadi.

Mengulas lanjut, Wan Sukairi berkata, kerajaan negeri juga mengucapkan tahniah kepada beberapa individu lain yang turut terjun ke sungai itu bagi membantu menyelamatkan mangsa.

“Insya-Allah, mereka juga akan diberikan penghargaan. Kerajaan negeri turut mengucapkan terima kasih kepada pasukan penyelamat, termasuk bomba, polis, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan semua yang bertungkus lumus melakukan usaha mencari sehingga mangsa ditemui,” katanya.

Loading...

Leave a Reply