Jamal ditangkap ketika sedang gunting rambut

0
2797

KUALA LUMPUR: Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos dikatakan ditahan ketika dia sedang menggunting rambut di sebuah kedai gunting rambut di Jakarta Selatan.

Menurut sumber keselamatan, Jamal bersembunyi di beberapa lokasi sebelum dia ditangkap pada 6.15 petang (waktu Malaysia) pada Isnin oleh Polis Negara Republik Indonesia (POLRI).

“Jamal dipercayai bersembunyi di Medan, Sumatera Utara sebelum menukar lokasi ke Jakarta Selatan bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

“Dia dipercayai menggunakan laluan laut untuk ke Medan,” kata sumber keselamatan tersebut.

Tambahnya, Jamal dijangka dihantar pulang ke Malaysia minggu ini selepas selesai urusan dokumentasi.

Baca: Jamal Md Yunos ditangkap pihak berkuasa Indonesia

Jamal Md Yunos yang juga bekas calon ketua pemuda UMNO itu dikehendaki PDRM kerana disiasat berhubung sembilan kes yang dikaitkan terhadapnya.

Dia bagaimanapun melarikan diri semasa proses ikat jamin dijalankan di Hospital Ampang Puteri pada 25 Mei lalu.

Jamal didakwa di bawah Seksyen 290 Kanun Keseksaan berkaitan kes gangguan awam selepas memimpin bantahan pada Oktober 2017 dengan memecahkan beberapa botol minuman keras di luar bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor di Shah Alam.

Dia juga disiasat mengikut Seksyen 34 Akta Senjata 1960 kerana membawa senjata api semasa dalam keadaan mabuk atau tidak senonoh.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here