Portal berita terbaik anda

Utama

Jamal diarah bayar ganti rugi RM300,000 kepada Maria Chin

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini mendapati Ketua Umno Bahagian Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos bersalah kerana memfitnah bekas pengerusi BERSIH, Maria Chin Abdullah dan memerintahkannya membayar ganti rugi RM300,000.

Dalam penghakimannya, Hakim Datuk Mohd Zaki Abdul Wahab berkata Jamal didapati gagal dalam pembelaan perlindungan bersyarat.

Hakim juga memutuskan tuduhan tersebut telah mencemarkan reputasi Maria memandangkan Jamal tidak mempunyai kewajiban moral atau undang-undang untuk membuat tuduhan tersebut.

“Pembelaan beliau bagi komen yang adil gagal memberikan fakta dan membuktikan fakta-fakta untuk menyokong tuduhannya.

“Mahkamah memerintahkan defendan (Jamal) membayar ganti rugi RM300,000,” kata Zaki.

Di samping itu, mahkamah juga memerintahkan Jamal membayar kos sebanyak RM40,000.

Maria yang kini anggota Parlimen Petaling Jaya, memfailkan saman fitnah terhadap Jamal pada 7 Okt 2016 selepas mendakwa BERSIH diresapi unsur-unsur militan Negara Islam (IS) sebelum perhimpunan BERSIH 5.

Jamal yang merupakan pemimpin gerakan “Baju Merah” yang dikaitkan dengan Umno, telah mengucapkan kata-kata tersebut semasa dua sidang akhbar pada minggu itu.

Berikutan kenyataan Jamal, Maria ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (Sosma) 2012.

Dua hari sebelum Maria memfailkan samannya, Jamal mengadakan sidang akhbar lain di mana dia membuang surat tuntutan bagi permohonan maaf yang dihantar Maria ke dalam tandas.

Peguam N Surendran dan Latheefa Koya mewakili Maria, manakala Jamal diwakili Nasir Yusof dan V Mugunthan.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tun Dr Mahathir Mohamad, bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Anggota Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim adalah antara saksi yang dipanggil dalam perbicaraan berkenaan.

Loading...

Leave a Reply