Portal berita terbaik anda

Politik

‘Jam tangan Rolex RM3.5j hadiah daripada putera raja’ – Najib

JAM tangan Rolex Paul Newman Daytona bernilai RM3.5 juta milik bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang dirampas Polis Diraja Malaysia (PDRM) adalah pemberian putera raja di Asia Barat.

Najib dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini berkata, jam tangan itu diterimanya ketika lawatan putera raja berkenaan ke negara ini Mac lalu.

Katanya, bukti ia diberi oleh putera raja berkenaan dapat dilihat menerusi cop mohor kerabat diraja negara berkenaan yang tertera pada kotak jam terbabit.

“Jam tangan itu adalah pemberian daripada putera raja yang juga menteri dalam negeri negaranya ketika melawat negara ini pada Mac lalu.

“Sepatutnya, polis perlu menyatakan bahawa jam tangan itu serta beberapa barangan lain ditemui disimpan dalam kotak yang tertera cop mohor diraja negara luar berkenaan. Fakta itu tidak boleh diabaikan,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, kebanyakan barangan berkenaan disimpan dalam kotak yang dilabel khas oleh kakitangannya lengkap dengan deskripsi, gambar, tarikh hadiah itu diterima selain identiti pemberi hadiah berkenaan.

Katanya, pihaknya akan memberi kerjasama kepada polis sekiranya dipanggil bagi menjelaskan perkara itu.

“Paling penting, kami juga boleh membantu polis untuk mengenal pasti siapa pemberi hadiah itu sejak berdekad lamanya.

“Sama seperti nilai hutang kerajaan yang diumumkan terlalu melambung tinggi itu, nilai serta jumlah barangan yang diumumkan polis dalam sidang media semalam juga dilihat bersifat serangan dan dendam politik terhadap keluarga saya,” katanya.

Najib berkata, ada antara barangan itu adalah milik saudara-mara terdekat serta pihak ketiga dan mereka sudah pun memulakan tindakan perundangan bagi menuntut semula barangan terbabit daripada polis.

Loading...

Leave a Reply