Portal berita terbaik anda

Sukan

‘Itu cara mereka raikan gol’ – Presiden PAFA ‘backup’ Leandro, Wander Luiz

IPOH: “Saya berpendapat itu cara mereka meraikan gol dan perasaan mereka ketika itu kerana sudah keletihan selepas bermain sehingga minit ke-120, saya tidak rasa ada niat lain.”

Itu komen Presiden Persatuan Bolasepak Perak (PAFA), Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim, ketika ditanya mengenai tindakan provokasi melampau dilakukan dua pemain import pasukan itu terhadap pemain pertahanan Terengganu FC (TFC) selepas menjaringkan gol penyamaan pada masa tambahan.

Dalam perlawanan itu, pemain Perak, Wander Luiz dan Leandro Dos Santos melakukan provokasi melampau di hadapan pertahanan TFC, Igor Zonjic selepas pemain itu menjaringkan gol sendiri.

Gol sendiri Zonjic itu sekali gus membolehkan Perak menyamakan kedudukan 3-3 dan mengheret perlawanan ke penentuan penalti sebelum menang 4-1.

Tindakan kedua-dua pemain itu juga dijadikan bahan jenaka di media sosial dan ada yang memberikan komen bahawa tindakan mereka keterlaluan serta perlu dihukum oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Hasnul Zulkarnain berkata, penyokong dan orang ramai tidak memahami kepenatan kedua-dua pemain berkenaan kerana hanya mereka yang tahu penat lelah beraksi sehingga minit ke-120.

“Kita tidak berada di atas padang, bagaimana mereka berkorban sehingga minit ke-120. Kita tidak beraksi, mereka yang beraksi dengan penuh rasa semangat dan keletihan tetapi itu adalah cara mereka menunjukkan rasa (tidak puas hati) terhadap pengadil yang berlaku tidak adil sebelum ini.

“Pada pengamatan saya, setiap pemain ada cara meraikan kemenangan atau kegembiraan,” katanya yang ditemui selepas menyambut ketibaan piala berkenaan di Stadium Perak di sini hari ini.

Loading...

Leave a Reply