Portal berita terbaik anda

Sukan

Isu tiket: PBSNT gagal belajar dari pengalaman lalu – Mat Said

KUALA TERENGGANU – Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) hari ini terus diselar berikutan kekalutan pengagihan tiket untuk final Piala Malaysia antara Terengganu FC 1 (TFC 1) menentang Perak di Stadium Shah Alam esok.

Bekas Presiden PBSNT, Datuk Seri Ahmad Said berkata, kaedah pengurusan tiket oleh pihak persatuan yang dipercayai tidak mengikut prosedur betul menyebabkan kejadian sama berulang.

Justeru, beliau tidak menolak kemungkinan wujud kalangan yang menggunakan orang tengah dengan membeli secara banyak sebelum menjual tiket di pasaran gelap untuk mendapat untung berlipat ganda.

“Cara persatuan menjual tiket, saya mengesyaki pihak yang menguruskan tiket ini menggunakan cara yang tidak betul.

“Sebab kalau ada lebih kurang 30,000, buka satu dua jam sudah habis tiket. Mungkin yang menjual guna orang lain iaitu orang tengah yang beli banyak dan jual untuk dapat habuan,” katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika ditemui selepas majlis makan tengah hari santai bersama Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, di sini hari ini.

Semalam, PBSNT menerusi jawatankuasa pengurusan tiket akan menjalankan siasatan terperinci berhubung kekalutan pengagihan tiket untuk final Piala Malaysia antara Terengganu FC 1 (TFC 1) menentang Perak di Stadium Shah Alam.

Timbalan Presidennya, Hishamuddin Abdul Karim menegaskan, ini termasuk bagaimana sebahagian daripada 2,000 keping tiket dikatakan sudah diperoleh malam tadi yang sepatutnya dijual di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah hari ini.

Sementara itu, Ahmad yang juga bekas Menteri Besar menyifatkan tindakan PBSNT yang hanya membuka satu kaunter jualan bagi menjual 2,000 tiket di Stadium Sultan Nasiruddin Shah semalam sebagai tidak wajar.

Katanya, sudah tiba masanya persatuan mengubah kaedah itu dengan turut mencadangkan pembukaan kaunter khas untuk wanita.

“Orang beribu-ribu, satu kaunter saja dibuka, takkan tak boleh fikir sudah berpuluh tahun pengalaman.

“Bukalah 10 kaunter dan boleh buka satu saluran untuk wanita saja. Saya perhati benda ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Loading...

Leave a Reply