Isu layanan jururawat, Linda Rafar diarah minta maaf

0
71

KUALA LUMPUR – Badan bukan kerajaan (NGO) iaitu Delegations of Nursing (DON) semalam telah menghantar notis tuntutan mahkamah terhadap pelakon Linda Rafar berhubung isu fitnah terhadap seorang jururawat di sebuah hospital di Shah Alam, Selangor beberapa hari lalu.

Menerusi satu kenyataan yang dikongsi di akaun Facebook, DON memberitahu pihaknya mengemukakan notis tersebut menerusi dua kaedah iaitu secara pemberian tangan dan secara hantaran ‘avis de réception’ (AR registered post) bagi mewakili jururawat yang difitnah dalam kes berkenaan.

Antara isi kandungan notis tersebut adalah tuntutan permohonan maaf dan ganti rugi yang perlu dilaksanakan Linda dalam tempoh tujuh hari. Sekiranya gagal, kes itu akan dilanjutkan ke mahkamah.

“Terima kasih kepada semua penderma yang sudi membantu kami mengemukakan tindakan perundangan kepada pihak terlibat.

“Kami berharap insiden ini mampu dijadikan tauladan supaya tiada lagi kes buli siber disebarkan melalui mana-mana platform media sosial dan internet,” tulis kenyataan itu.

Pada masa sama, DON menegaskan tindakan perundangan yang dilakukan itu sama sekali tidak mengganggu dalaman pihak hospital kerana kes tersebut tidak mempunyai kaitan dengan kejadian tukar cadar yang tular di hospital berkenaan.

Sebaliknya, ia lebih kepada kejadian tular yang disebarkan menerusi Instagram milik Linda sendiri.

Terdahulu, kecoh di laman sosial beberapa hari lalu selepas Linda memuat naik Insta Story yang tidak berpuas hati dengan tindakan seorang jururawat di sebuah hospital kerajaan yang enggan menukar cadar katil ibunya yang menerima rawatan di situ.

Difahamkan, jururawat tersebut tidak mengendahkan pemintaan Linda dan membiarkan cadar itu kotor selama beberapa jam.

Tindakan Linda yang berkongsi perasaan tidak puas hati di laman sosial kemudiannya mendapat maklum balas yang pelbagai daripada ramai pihak sehingga ia mengundang tindakan undang-undang daripada DON kerana didakwa memfitnah jururawat terbabit. – K! ONLINE

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here