Isu kucing: Pemilik Facebook tular dipanggil polis

BUKIT MERTAJAM – “Saya hanya mahu berkongsi kisah pemergian mama saya agar dapat menjadi iktibar dan pedoman buat rakan-rakan di laman sosial saya.

“Tak sangka pula ‘posting’ (hantaran yang dimuat naik ke dalam laman Facebook) itu menjadi tular.”

Itu penjelasan pemilik akaun Facebook, Azliya Alia yang juga anak kepada seorang pemilik kucing yang meninggal dunia akibat serangan jantung sehari selepas kucing yang dibelanya diambil oleh penguat kuasa Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) pada 19 Mei lalu.

Terdahulu, dalam hantaran Facebook miliknya, dia memaklumkan telah dipanggil untuk memberi keterangan di ibu pejabat polis daerah (IPD) Seberang Perai Tengah semalam selepas MBSP membuat laporan polis susulan hantaran yang tular itu.

Menurut wanita berkenaan, sesi tersebut bagaimanapun berlangsung dengan baik dan pihaknya juga telah bersemuka dengan pegawai MBSP berkenaan untuk mendapatkan penjelasan.

“Pihak kami telah memohon maaf atas kekhilafan menulis secara langsung nama agensi MBSP dalam ‘posting’ terbabit.

“Pada masa sama, pegawai berkenaan juga telah memohan maaf dan perbincangan tersebut selesai dengan baik,” katanya.

Bagaimanapun katanya, mereka tetap membuat laporan polis terhadap hantaran berkenaan dan pihaknya akur terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan agensi berkenaan.

“Kertas siasatan telah dibuka dan mungkin tindakan undang-undang akan dikenakan terhadap saya.

“Sehingga masa ini juga, pihak saya tidak ada membuat apa-apa laporan polis kerana mahu isu ini diselesaikan dengan baik bersama MBSP,” ujarnya.

Tambah wanita itu, dia juga berhasrat bertemu Datuk Bandar MBSP, Datuk Rozali Mohamud serta pengarah-pengarah jabatan yang berkaitan bagi mengelakkan salah faham sekali gus meleraikan isu itu dengan baik. -UTUSAN ONLINE

Loading...
Published
Categorized as Utama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *