Isteri hanya tumpang seketika kereta kerajaan – Norhizam

0
1418

MELAKA TENGAH – Exco Pertanian, Pembangunan Usahawan dan Industri Asas Tani Melaka, Norhizam Hassan Baktee menafikan tuduhan tersebar di laman sosial terhadap isterinya yang didakwa sewenang-wenangnya menggunakan kenderaan rasmi kerajaan untuk ke tempat kerja.

Menurutnya, gambar kenderaan berkenaan sengaja disebarkan oleh pihak tertentu untuk menjatuhkan imej serta reputasi beliau sebagai seorang Adun dan Exco Kerajaan Melaka.

“Sebetulnya pada tarikh berkenaan, kenderaan peribadi milik isteri saya rosak di tepi jalan ketika beliau dalam perjalanan untuk ke tempat kerja. Pada ketika itu, saya berada di luar kawasan bagi menjalankan tugas rasmi kerajaan negeri,” katanya.

Menurutnya, atas sikap tanggungjawab, beliau kemudian memohon pemandunya membantu isterinya membaiki kenderaan tersebut dengan menghubungi mana-mana mekanik terdekat.

“Sebaik mekanik sampai, isteri saya dimaklumkan kerja membaiki kerosakan ambil masa agak lama dan mekanik itu mencadangkan supaya pemandu saya hantar isteri ke tempat kerja yang terletak di MITC (Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka) sementara kenderaan itu dibaiki.

“Pemandu saya dengan penuh berhemah menghubungi saya bagi memaklumkan untuk menghantar isteri saya ke tempat kerja dan seterusnya pemandu saya pulang semula ke pejabat,” katanya.

Norhizam berkata, tidak timbul isu isterinya menggunakan harta kerajaan sesuka hati.

“Dalam hal ini, ia ibarat isteri saya menumpang seketika menaiki kenderaan itu sementara kenderaan milik isteri siap dibaiki.

“Lagipun, isteri saya tidak memandu kenderaan berkenaan sebaliknya yang memandu adalah orang lain, iaitu pemandu saya. Penerangan ini diharap dapat memberi pencerahan berhubung dakwaan yang tular di laman sosial,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here