Cempedak Cheese

Portal berita terbaik anda

Jenayah

‘Ingatkan anak patung, rupa-rupanya mayat bayi’

KAMPAR – “Menggigil badan bila saya dapat tahu itu mayat bayi, saya ingatkan patung,” kata Mohd Nurul Aza Khalit, 34, penduduk kampung yang menemui mayat seorang bayi lelaki tersangkut dalam Sungai Dipang berhampiran Kampung Sahom di sini hari ini.

Penemuan bayi cukup sifat, masih beruri dan bertali pusat serta ditinggalkan tanpa pakaian itu disedari Mohd Nurul Aza ketika mandi di sungai berkenaan sekitar jam 2 petang.

Menurutnya, ketika naik ke tebing dia terlihat satu objek menyerupai bayi berhampiran tebing sungai dalam keadaan mengiring dengan separuh bahagian badan terendam dalam air.

“Pada mulanya saya sangkakan itu patung, tapi rasa was-was, sebaik dihampiri barulah saya nampak mayat bayi yang masih bertali pusat dan beruri.

“Keadaan tubuhnya pucat, namun tak nampak sebarang kesan luka,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Terkejut dengan kejadian itu, dia segera menghubungi polis bagi memaklumkan penemuan tersebut.

“Sebelum saya, ada beberapa kumpulan kanak-kanak mandi di situ, tapi mungkin mereka tak perasan sebab mayat itu tersangkut di kawasan agak cetek,” katanya.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Sahom, Mohd Lot Abdul Hamid berkata, ini kali pertama kejadian seumpama itu berlaku di kawasan kampung berkenaan.

“Sungai ini memang sering digunakan penduduk untuk mandi dan menjadi tumpuan orang luar bagi aktiviti sukan air seperti water rafting dan river tubing,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Hasron Nazri Hashim berkata, berdasarkan keadaan tubuh bayi ketika dijumpai berkemungkinan mangsa baru dilahirkan.

“Tetapi tidak dapat dipastikan tempoh masa sebenar, kita perlu tunggu laporan bedah siasat yang akan dibuat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh,” katanya.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati, bayi itu dihanyutkan arus deras sebelum ditemui tersangkut di kawasan cetek sungai berkenaan.

“Kita telah menemubual beberapa saksi dan penduduk yang menemui mayat bayi ini, siasatan lanjut dibuat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran,” katanya.

1 Comment

  1. Shah

    Moga pelakunya dihukum Allah didunia ini selagi belum bertaubat.

Leave a Reply

Theme by Anders Norén