Portal berita terbaik anda

Utama

Ibu terkilan tidak dimaklumkan kematian anak dalam kereta pengetua

ALOR SETAR – “Naluri saya sebagai ibu dapat rasakan anak saya, Muhammad Harraz Aryan Mohd Hafizi menahan sakit sebelum dia menghembuskan nafasnya kerana saya nampak bibirnya gelap.

“Namun, saya reda dengan pemergiannya kerana Allah hanya pinjamkan arwah untuk kami buat seketika,” kata Nor Azira Abdul Halim, 36.

Dalam kejadian semalam, Muhammad Harraz Aryan, 3, ditemui tidak sedarkan diri dalam Proton Waja milik pengetua tadika selepas ditinggalkan di parkir selama empat jam.

Nor Azira berkata, mungkin guru terbabit tidak sedar anaknya berada di tempat duduk belakang.

Katanya, setiap hari, dia menghantar anaknya ke tadika namun disebabkan dia bekerja di Pulau Pinang pada Selasa dan Rabu, dia meminta guru terbabit mengambil anaknya di rumah di Taman Ria.

Katanya, pada hari lain, dia bekerja dari rumah ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) termasuk menguruskan anak sulungnya, Nurhana Sakinah Mohd Hafizi, 7, yang belajar di Sekolah Kebangsaan Taman Ria di Sungai Petani.

“Ketika kejadian, saya sedang bertugas di bangunan Komtar di Pulau Pinang dan bergegas pulang sebaik menerima panggilan pada jam 12.25 tengah hari.

“Mulanya saya ingat anak saya kemalangan sebab tadika itu terletak berhampiran jalan tapi guru yang menghubungi saya menangis dan memberitahu anak saya tak sedarkan diri,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik, Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, hari ini.

Nor Azira berkata, dia bergegas pulang ke Sungai Petani namun tidak tahu apa yang berlaku kepada anaknya.

Katanya, dia sempat menghubungi suami, Mohd Hafizi Husin, 36, yang bertugas sebagai anggota tentera di kem Sungai Petani dengan harapan suaminya akan cepat sampai untuk melihat keadaan arwah.

“Sepanjang perjalanan pulang, saya tak henti berdoa supaya anak selamat dan mungkin hanya mengalami kecederaan.

“Namun, suami menghubungi saya dan meminta saya terus ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di Sungai Petani untuk melihat keadaan anak kami,” katanya.

Nor Azira berkata, arwah memang anak yang aktif ketika di rumah namun ketika di sekolah dia banyak diam mungkin dia takut dengan guru.

“Cuma saya tak tau anak saya meninggal waktu bila sebab dia berada dalam kereta itu sejak 8 pagi sebelum disedari jam 12.15 tengah hari.

“Tak nampak langsung perubahan pada arwah dan merengek tu biasalah,” katanya.

Jenazah Muhammad Harraz Aryan dibawa dari HSB ke rumahnya di Sungai Petani dengan van jenazah dan dijangka akan dikebumikan hari ini.

Media sebelum ini melaporkan kanak-kanak lelaki meninggal dunia selepas empat jam ditinggalkan dalam kereta pengetua sebuah tadika.

Loading...

Leave a Reply