Ibu maut, kereta dipandu anak rempuh pokok

MARANG: Seorang kakitangan wanita Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun maut selepas kereta dinaiki bersama anak lelakinya terbabit nahas di Kilometer 22.5 Jalan Kuala Terengganu – Kuantan, dekat Pantai Kelulut, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.15 pagi itu, mangsa, Kamarul Hayati Mohd Yusoff, 56, maut di lokasi kejadian akibat cedera parah di kepala.

Nahas turut menyebabkan anaknya, Mohamad Syah Al Hazeem Mohammad, 23, cedera parah dan kini dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd Suhaimi Ali, berkata kejadian dipercayai berlaku apabila kereta Nissan Almera berwarna putih yang dalam perjalanan dari Kuala Terengganu menuju ke Dungun hilang kawalan sebaik tiba di lokasi kejadian.

Beliau berkata, sejurus hilang kawalan, kenderaan dipandu Mohamad Syah Al Hazeem itu kemudian memasuki laluan bertentangan, sebelum melanggar sebatang pokok di tepi jalan menghala ke arah Kuala Terengganu.

“Akibat kejadian itu, cermin hadapan kereta dinaiki kedua-dua mangsa yang berasal dari Ketereh, Kelantan, pecah dan kereta itu remuk teruk di bahagian hadapan, menyebabkan Kamarul Hayati yang duduk di bahagian penumpang hadapan cedera parah sebelum meninggal dunia.

“Ketika kejadian difahamkan mangsa dalam perjalanan pulang dari kampung di Kelantan ke rumah mereka di Dungun.

“Mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik HSNZ untuk tindakan lanjut dan anaknya turut dihantar ke hospital sama untuk menerima rawatan,” katanya di sini, hari ini.

Dalam pada itu Mohd Suhaimi turut menafikan laporan yang viral di media sosial kononnya wanita yang maut dalam kejadian itu mengandung dan menasihatkan orang ramai berhenti menyebarkan berita tidak benar.

“Janganlah sesuka hati membuat sebarang dakwaan dan cerita tidak benar, tolong fikirkan maruah dan perasaan keluarga mangsa,” katanya.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan sehingga menyebabkan kematian.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *