Portal berita terbaik anda

Info

Ibu bapa tolak vaksin, bayi 14 bulan maut akibat difteria

SEMALAM tular kes mengenai seorang bayi perempuan berusia 14 bulan meninggal dunia disyaki akibat jangkitan difteria di Johor Bahru.

Bila digali, rupanya bayi itu tidak pernah menerima sebarang imunisasi difteria sebab keluarganya menolak imunisasi.

Mula sakit tekak dan disahkan difteria

Bayi itu mula mengalami demam dan sakit tekak pada 4 Okt dan telah dibawa oleh ibunya mendapatkan rawatan awal di klinik swasta pada 11 Okt.

Keesokan harinya, bayi tersebut telah dibawa ke unit kecemasan hospital kerana sesak nafas dan hilang selera makan. Pesakit dimasukkan ke wad kanak-kanak dan seterusnya dimasukkan ke unit rawatan rapi pediatrik pada 13 Okt kerana keadaan semakin lemah dan memerlukan bantuan pernafasan,” kata kementerian itu.

Namun Allah lebih sayangkan nyawa si kecil, bayi tersebut meninggal dunia pada 15 Oktober akibat mengalami difteria yang teruk dan kegagalan multiorgan.

Buat mak ayah yang masih tak tahu tentang bahayanya difteria kepada anak-anak, boleh rujuk perkongsian jururawat, Bel Nawhen.

Apa itu difteria

Difteria adalah penyakit yang disebabkan oleh bakteria Corynebacterium Diphteriae yang tersebar melalui titisan cecair pernafasan.

Bakteria ini menjangkiti tekak (tonsil dan farinks) dan menghasilkan toksin yang menyebabkan keradangan di sekitar tekak dan bengkak leher yang boleh menyebabkan pesakit sukar bernafas.

Jangkitan difteria mempunyai kadar kematian yang tinggi, iaitu antara 25 ke 50 peratus.

Pembawa kuman ini adalah manusia sendiri dan berjangkit serta disebarkan melalui kulit, saluran pernafasan dan sentuhan dengan pesakit difteria.

Kadar kematian akibat difteria paling tinggi di kalangan bayi serta orang tua dan kematian biasanya berlaku dalam masa 3 hingga 4 hari.

Kesan-kesan difteria

  1. Saluran pernafasan boleh tertutup. Anak kita boleh mati sebab sesak nafas (Airway blockage).
  2. Bila benda putih (pseudomembrane) dalam tekak itu tiba-tiba terjatuh dan tertelan, racun di dalamnya boleh merosakkan otot jantung (myorcarditis).
  3. Selepas itu, boleh terjadi kerosakan saraf (neuropathy).
  4. Boleh terkena jangkitan paru-paru (pneumonia).

Ini tanda dan gejala Difteria

  • Ada membran tebal warna kelabu yang melapisi tekak dan tonsil (ciri khas).
  • Sakit tekak dan suara serak.
  • Sakit ketika menelan.
  • Kelenjar di leher membengkak.
  • Kesukaran bernafas dan nafas cepat.
  • Keluar cairan dari hidung.
  • Demam dan menggigil.
  • Malaise.
  • Kanak-kanak tidak mahu bercakap.
  • Batuk-batuk.
  • Sakit kepala serta keluar air mata.

Macam mana Difteria boleh dielakkan?

Vaksin adalah cara terbaik untuk mengelak penyakit difteria. Kita sebenarnya telahpun berjaya mengawal penyakit ini, dan wabak ini sepatutnya tidak berlaku sekiranya kita sebagai ibubapa memastikan anak-anak kita mendapat vaksin.

Vaksin ini terkandung dalam Vaksin lima serangkai (5 in 1 -DPT-IPV-Hib) yang juga merangkumi vaksin untuk batuk kokok, polio, tetanus dan kuman Haemophilus Influenza-b.

Sebenarnya vaksin ini diberi percuma untuk semua kanak-kanak di klinik kesihatan kerajaan pada umur 2 bulan, 3 bulan, 5 bulan dan dos tambahan pada umur 18 bulan. Malah vaksin ini juga boleh didapati di klinik dan hospital swasta.

Sekiranya mak-mak terlupa untuk membawa anak ke klinik, masih belum terlambat dan vaksin boleh diberikan pada masa seawal yang mungkin.

Loading...

Leave a Reply