Portal berita terbaik anda

Utama

Ibu bapa bersesak ambil anak di sekolah, netizen bimbang cetus kluster baharu

PEMBUKAAN semula sesi persekolahan secara berperingkat mulai hari ini bagi prasekolah, Tahun 1 dan Tahun 2 memberi satu perasaan baru dan menerujakan buat anak-anak termasuk ibu bapa serta penjaga mereka.

Ramai yang berpusu-pusu hadir untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah setelah sekian lama hanya menjalani Pengajaran Dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR).

Namun begitu, pengguna laman Facebook, Mohd Fadli Salleh memuat naik tulisan serta beberapa kepingan gambar bagi menunjukkan situasi ibu bapa yang menunggu di luar perkarangan sekolah.

Melalui gambar tersebut, dapat dilihat bahawa ibu bapa atau penjaga berkerumun menunggu kepulangan anak masing-masing tanpa menjaga jarak sosial antara satu sama lain.

Meskipun mereka dilihat memakai pelitup muka, kesesakan itu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan netizen.

Malah difahamkan bahawa situasi melanggar prosedur operasi standard (SOP) sedemikian turut berlaku di beberapa sekolah lain di seluruh negara.

Pengguna Facebook, Cynthia Nur Nabila berkata, situasi itu berlaku ekoran keinginan ibu bapa dan penjaga menunggu anak-anak mereka di depan pintu pagar skolah.

“Kalau boleh nak bawa kereta masuk dalam. Kan dah ada tempat untuk tunggu anak, tunggu sahaja anak-anak keluar baru jemput. Saja nak kumpul ramai buat sesak.

“Ada juga kes parking khas untuk van, tapi ibu bapa suka-suka parking bagi sesak. Bila ditegur guard boleh buat muka ‘selenge’ sahaja. Tak fikir keselamatan anak-anak. Moga Allah lindungi anak-anak kita semua,” katanya.

Manakala, pengguna Facebook, Nurul Nadia Sapingi berkata, situasi sebegitu turut sama berlaku di sekolah anaknya.

Walhal, katanya, para guru sudah memberitahu arahan bagi memaklumkan bahawa penjaga kepada murid yang kelasnya disebut sahaja dibenarkan tampil mengambil anak masing-masing.

“Dah beritahu arahan semua, hanya kelas murid disebut saja penjaga baru datang ke pintu keluar sekolah. Ini tidak. Penjaga yang tak terlibat pun ikut berkerumun di pintu situ. Keadaan sangat sesak. Penjaga memang tak main peranan atau memnag tak faham dengarn arahan, tak tahu lah,” katanya.

Shahrul Izwan Sabdin pula berkata, pihak sekolah sudah melakukan yang terbaik dan membuat susunan untuk murid keluar secara berperingkat, namun keadaan masih sukar dikawal.

“Pihak sekolah dah susun cantik dah keluar berperingkat-peringkat. Cuma ibu bapa yang terlalu ramai, teruja tunggu depan laluan. Macam mana murid nak lalu?,” katanya.

Menceritakan situasi yang sama, Sarah Mohamed berkata, guru di sekolah anaknya telah mengambil inisiatif untuk terlebih dahulu memberikan jadual bagi membenarkan murid keluar secara sistematik.

“Cikgu dah siap-siap bagi jadual kelas mana yang keluar dulu. Keluar pun kene beratur. Siap ada polis trafik jaga lagi. Tapi ibu bapa masih penuh menunggu depan pagar macam ini. Mungkin hari pertama persekolahan semua teruja nak tengok anak,” katanya.

Sementara itu, Nien Zafriel yang turut menghantar anak ke sekolah hari ini menyifatkan situasi di sekolah menakutkan apabila melihat terdapat ibu bapa yang sibuk mengintai anak dari tepi pagar dan berlaga bahu.

“Tak jarak langsung. Aduhai, terus lupa SOP. Padahal anak tu cikgu semua dah siap sedia uruskan segala hal SOP sekolah. Tak mahu ada kluster sekolah dan ditutup kalau ada kes!,” tegasnya.

Loading...

Leave a Reply