Portal berita terbaik anda

Utama

Ibu Abam, Hidayah tidak berhubung lagi sejak keluar dari rumah

Ibu Allahyarham Abam Bocey, Sabariah Arshad mendakwa tidak tahu menahu perkembangan menantu, Norhidayah Mohd Ali dan cucunya, selepas mereka meninggalkan rumah pada hari keenam arwah pergi.

Sabariah, 63, mendakwa Norhidayah tidak menyimpan nombor telefonnya, malah tidak meninggalkan sebarang pesanan apabila meninggalkan rumah.

“Dia tidak ada nombor telefon saya. Sama juga, saya tidak menyimpan nombor telefonnya. Jadi, saya tidak tahu keadaan mereka.

“Saya tidak pernah menyuruh dan tidak melarang jika dia hendak keluar dari rumah yang disediakan arwah.

“Norhidayah tidak cakap apa-apa ketika keluar dari rumah. Biarlah, saya pun malas hendak ambil tahu. Saya sudah tua dan tidak larat lagi,” katanya ditemui selepas majlis tahlil dan doa selamat untuk arwah Abam anjuran Astro di Masjid Wilayah Persekutuan di sini, malam tadi.

Mengaku buta huruf, Sabariah berkata, dia tidak menyimpan nombor telefon Norhidayah kerana tidak tahu menggunakan telefon bimbit.

Bagaimanapun, Sabariah berkata, dia hanya menyimpan tujuh nombor telefon iaitu empat anaknya, dua cucu dan seorang lagi menantu.

Namun, tambahnya, semua nombor itu dimasukkan ke dalam data telefon bimbitnya oleh anak-anak.

“Saya buta huruf dan tidak pandai menggunakan telefon bimbit. Jika hendak menelefon anak-anak, saya hanya menekan punat ‘speed dial’ sahaja.

“Pada usia sekarang, saya malas hendak fikir perkara remeh. Saya reda dan maafkan apa sahaja orang lakukan kepada saya.

“Saya hanya fikir siapa yang nak bela dan beri saya makan selepas ketiadaan abang… Itu sahaja.” katanya.

Bagaimanapun, Sabariah mengaku rindukan cucunya.

“Tapi dalam keadaan sekarang, saya hanya memikirkan mengenai arwah. Selama 32 tahun dia hidup, kami tidak pernah berpisah.

“Lagi pun, saya tidak boleh lihat wajah cucu kerana asyik teringatkan arwah,” katanya.

Mengenai hasrat usahawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri mahu bertemu dan meminta maaf atas kontroversi yang timbul, Sabariah berkata:

“Jika dia hendak meminta maaf, tidak perlu bawa kamera. Datang dan jumpa secara empat mata sahaja. Jika dia hendak bawa kamera, lebih baik tidak payah jumpa,” katanya.

Abam atau nama sebenarnya, Syed Umar Mokhhtar Syed Mohd Ridhuan menghembuskan nafas terakhir akibat demam panas di kediamannya, pada 10 Februari lalu.

Arwah meninggalkan Norhidayah dan anak berusia lapan bulan, Syed Uthman Hamzah Al Jufrey.

Sumber: Berita Harian

Loading...

Leave a Reply