Portal berita terbaik anda

Politik

Hutang RM3 bilion bukan hutang berjoli – Adnan Yaakob

KUANTAN: Bekas Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob mendakwa hutang kerajaan Pahang dianggarkan RM3 bilion yang sering dikaitkan dengan dirinya, adalah diwarisi daripada pemimpin terdahulu dan bagi melaksanakan pelbagai projek untuk kebajikan rakyat.

Ketika mencelah ucapan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, Datuk Seri Ishak Muhammad sebelum penangguhan majlis angkat sumpah ADUN di Wisma Seri Pahang, hari ini, beliau berkata, projek berkenaan termasuk meningkatkan bekalan air dan pembinaan rumah kos rendah.

Justeru, katanya, beliau dukacita kerana banyak pihak memberikan pendapat negatif mengenai hutang dengan Kerajaan Pusat itu.

“Ramai yang tidak bayar hutang rumah, panjang paip di Pahang 14,000 kilometer (km) dan paling teruk apabila kita kena mengambil alih rumah pam di 82 kawasan FELDA. Saya berharap semua orang faham dan ia bukan hutang berjoli.

“Saya geram apabila diberitahu Sukan Malaysia (SUKMA) dianjurkan di negeri ini pun kita kena tanggung. Bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan memberitahu ada hutang RM40 juta disebabkan banjir. Banjir adalah bencana alam.

“Sebab itulah hutang kita mencecah RM3 bilion. Kita pernah berbincang dengan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang bersetuju melupuskan 60 peratus daripada jumlah itu.

“Bagaimanapun, tidak sempat kerana beliau dipecat (daripada Kabinet),” katanya yang juga ADUN Pelangai dan menyandang jawatan Menteri Besar Pahang selama 19 tahun sejak 1999.

Adnan berkata, beliau berharap semua pihak dapat memahami rasional di sebalik jumlah hutang itu, selain tanggungjawab sebagai Menteri Besar bukan tugas mudah.

“Bukan mudah untuk menguruskan hutang dengan hasil kurang. Sebagai contoh dalam isu air, setiap RM1 yang dibayar pengguna, kerajaan memberikan subsidi 50 sen.

“Jika naik (kadar tarif air) 100 peratus pun masih rugi. Jika hendak untung, kena naikkan 300 peratus. Namun, kita tidak pernah memikirkan soal untung, sebaliknya mengutamakan kebajikan rakyat,” katanya.

Terdahulu, Ishak berkata, DUN Pahang menghargai dan berterima kasih kepada Adnan atas segala sumbangannya sepanjang menjadi ADUN selama 32 tahun dan 19 tahun sebagai Menteri Besar.

Beliau berkata, perkhidmatan Adnan membolehkan Pahang bergerak maju dan sumbangannya dirasai dalam aspek kebajikan, perumahan dan pemerkasaan pendidikan untuk rakyat.

“Diharapkan ADUN Pelangai dapat memberi idea bernas dan kerjasama untuk merancakkan kemajuan Pahang,” katanya.

Loading...

Leave a Reply