Tular video orang ramai solat Jumaat di luar pagar masjid, ini jawapan mufti

PETALING JAYA – Orang ramai diminta memastikan mereka berada dalam posisi sah solat Jumaat jika mahu menunaikan solat itu di luar kawasan masjid.

Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, pertama mereka mesti solat tidak lebih 300 hasta dari tempat makmum paling belakang dalam masjid.

“Walaupun solat dari seberang jalan masjid, tetapi jarak masih dalam jarak 300 hasta maka dibolehkan lagi. Kedua pagar masjid mesti tidak berkunci.

“Jika tidak nampak imam, tetapi nampak makmum terakhir boleh ikut itu dan tahu pergerakan solat mengikut imam,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Berdasarkan kiraan, satu hasta bersamaan 45 sentimeter maka 300 hasta mendekati jarak 135 meter.

Terdahulu, satu rakaman video berdurasi 26 saat menunjukkan orang ramai mengikuti solat Jumaat dari luar kawasan masjid termasuk di seberang jalan dan hentian bas tular di media sosial.

Mohamad Shukri berkata, beliau berpandangan tidak perlu satu fatwa dikeluarkan berhubung perkara itu kerana arahan pemerintah mengenai solat Jumaat adalah jelas.

Kata beliau, pemerintah telah mengeluarkan arahan kapasiti jemaah yang dibenarkan untuk menunaikan solat Jumaat di masjid pada waktu pandemik Covid-19.

Jelasnya, walaupun niat mahu menunaikan solat Jumaat baik, tetapi umat Islam perlu patuh kepada maslahat bagi memutuskan rantaian wabak itu.

“Kita dalam situasi darurat maka amalan tidak akan sama dalam waktu aman. Jika masjid sudah lebih kapasiti, maka tunaikan solat Zuhur.

“Solat Jumaat wajib, tetapi apabila bertembung dengan isu kemudaratan, maka maslahat menjaga nyawa perlu diutamakan,” katanya. – K! ONLINE

Loading...

Leave a Reply