Portal berita terbaik anda

Politik

Hubungan mesra Umno – PAS tidak munasabah – Ku Li

Seorang lagi tokoh Umno menyatakan rasa kurang senang dengan pendekatan diambil pemimpin parti itu terhadap PAS.

Bekas calon presiden Umno Tengku Razaleigh Hamzah berkata langkah diambil kepimpinan parti itu sekarang boleh dianggap sebagai tidak masuk akal.

Selain dianggap terlalu awal Tengku Razaleigh berkata jumlah anggota parlimen Umno di Dewan Rakyat juga adalah yang paling ramai berbanding parti lain.

“Mengapa kita merangkak nak cari orang? Hubungan antara Umno dan PAS ini tidak munasabah,” katanya dalam temu bual disiarkan Sinar Online semalam.

Buat kali pertama seorang presiden Umno hadir sebagai tetamu pada muktamar PAS di Kuala Terengganu pada 15 Sept lalu.

Selain Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi rombongan Umno itu juga disertai dua daripada tiga naib presidennya, selain setiausaha agung dan ketua penerangan.

Kehadiran mereka disambut dengan mesra oleh pemimpin tertinggi PAS.

PAS tak ikhlas

Pada hari penutup muktamar (16 Spet) Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyatakan parti itu akan menghantar wakil untuk menghadiri perasmian Perhimpunan Agung Umno yang akan diadakan pada 28 Sept nanti.

Pada 18 Sept pula anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno yang mendapat undi terbanyak baru-baru ini, Datuk Seri Mustapa Mohamed, mengejutkan orang ramai apabila mengumumkan keluar dari parti yang disertainya sejak lebih 40 tahun lalu.

Untuk rekod Mustapa dan Tengku Razaleigh adalah antara tokoh yang pernah menjadi ketua perhubungan Umno Kelantan yang gigih mengatur langkah bagi merampas negeri itu daripada PAS sejak 1990.

Kata Tengku Razaleigh tindakan Umno mahu mengadakan kerjasama baik dengan PAS tidak pernah dibincangkan oleh partinya secara rasmi dan menyeluruh.

Justeru kata anggota parlimen Gua Musang itu beliau langsung tidak ada maklumat langsung mengenai idea kerjasama antara Umno dan PAS itu.

“Mungkin mereka bincang sesama mereka dalam MT Umno, saya tidak ada dalam itu… pakatan sesama mereka saja,” katanya yang baru-baru ini dilantik sebagai pengerusi Jemaah Penasihat Umno.

Beliau yang lebih dikenali dengan panggilan Ku Li menambah PAS sebenarnya tidak ikhlas dalam menjalin hubungan dengan Umno.

Katanya sebagai orang Kelantan beliau tahu benar sikap PAS terhadap Umno, malah penyokong mereka juga berasa parti terbabit tidak ada keikhlasan.

“Buktinya, lihat saja keputusan pilihan raya umum lepas.

“Umno ditolak PAS, PAS rampas kuasa daripada kita di Terengganu.

“Jadi memang tak ada kerjasama langsung (ketika itu).

“Takkanlah lepas dua hari buat macam tu kepada kita (Umno) mereka (PAS) nak berbaik dengan kita?

“Inilah tafsiran orang di bawah terhadap pakatan Umno dan PAS,” katanya.

Loading...

Leave a Reply