Portal berita terbaik anda

Jenayah

Hina Agong, Fazrin Ismail akhirnya dihadapkan ke mahkamah

LELAKI yang menghina Yang di-Pertuan Agong (YDPA) akan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas lapan pertuduhan mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, kertas siasatan terhadap lelaki terbabit dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dan dipersetujui untuk pendakwaan.

“Pemilik akaun Twitter menggunakan nama Fazrin Ismail memuat naik perkataan bersifat jelik dan penghinaan terhadap YDPA pada 28 Mac lalu.

“Polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan kerana kecenderungan menghasut dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian.

“Pada 3 April, suspek ditahan dan dibenarkan reman dari 4 hingga 7 April. Hasil siasatan lapan ‘posting’ (ciapan) didapati menghina dan menggunakan perkataan kesat terhadap YDPA,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, polis menggesa orang ramai agar berpegang teguh dengan prinsip rukun negara dan tidak membuat, menerbitkan atau mengedarkan kenyataan serta khabar angin yang mempunyai kecenderungan menghasut.

“Perbuatan itu mendatangkan suasana tidak harmoni, perpecahan, perasaan permusuhan dan menggugat ketenteraman serta keselamatan awam,” katanya.

Katanya, polis tidak akan berkompromi dan tindakan tegas akan diambil bagi mengheret pesalah ke muka pengadilan.

Loading...

Leave a Reply