Hasnul umum letak jawatan Presiden Pafa

0
154

IPOH – Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa), Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim mengumumkan perletakan jawatannya hari ini selepas memegang tampuk tertinggi badan bola sepak negeri itu sejak 21 Julai lalu.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia, NGO dan Pembangunan Koperasi Perak berkata, keputusan tersebut dibuat kerana dia mahu memberikan tumpuan penuh terhadap tugasnya sebagai Exco Kerajaan Negeri dan karier politiknya.

“Saya tahu pengalaman memimpin badan bola sepak ini sesuatu yang sukar diperolehi, namun saya perlu bertindak dan menilai sebaik mungkin penumpuan kerja saya yang sedikit terganggu sejak kebelakangan ini.

“Bagaimanapun, sukan ini perlu diteruskan pentadbirannya dengan unsur-unsur tidak menyakiti mana-mana pihak walaupun kami sendiri menerajui Pafa sebelum ini tanpa kepentingan peribadi sama sekali,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pafa di sini hari ini.

Tambah Hasnul Zulkarnain, beliau juga tidak menafikan keputusan tersebut turut dibuat disebabkan desakan daripada para penyokong yang mahu dirinya berundur.

Katanya, beliau akan menyerahkan surat perletakan jawatannya secara rasmi dalam tempoh terdekat.

“Barisan Exco Pafa akan memutuskan siapa yang bakal menggantikan saya selepas ini,” jelasnya.

Tugas Presiden akan dipangku Timbalan Presiden Pafa yang juga pengurus pasukan bola sepak Perak, Datuk Adly Shah Ahmad Tah.

Hasnul Zulkarnain yang juga Adun Titi Serong itu menang tanpa bertanding pada Kongres Pafa ke-60 bagi jawatan presiden sesi 2018-2021 menggantikan Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan Julai lalu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here