Haruan makan anak, dipenjara 29 tahun, 20 sebatan

0
906

PETALING JAYA – Seorang penjaga stor dihukum penjara 29 tahun dan sebatan 20 kali oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan melakukan sumbang mahram dan merogol anak tirinya, sejak empat tahun lalu.

Hakim Hilmiah Yusof menjatuhkan hukuman itu selepas lelaki berusia 51 tahun itu mengaku bersalah melakukan perbuatan itu di sebuah pangsapuri di Bukit Serdang, Seri Kembangan dekat sini antara 2014 dan Ogos lalu.

Mengikut pertuduhan pertama, bapa tiga anak itu didakwa merogol anak tirinya yang berusia 19 tahun kira-kira pukul 8 pagi, 26 Ogos lalu.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebatan sehingga 10 kali.

Sementara itu, bagi pertuduhan kedua, dia didakwa telah melakukan sumbang mahram dengan mangsa sama yang ketika kejadian berusia 15 tahun, antara 2014 dan 2015 mengikut Seksyen 376(A) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 376B kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebatan.

Bagi pertuduhan merogol, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara selama 14 tahun dan sebatan 12 kali manakala penjara 15 tahun berserta sebatan lapan kali bagi kesalahan sumbang mahram.

Kedua-dua hukuman berjalan berturut-turut. – UTUSAN ONLINE

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here