Harga turun, pengusaha stesen minyak dijangka rugi hingga RM40 juta

PETALING JAYA: Persatuan Pengusaha Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM) menyambut baik pengumuman penurunan harga minyak yang diumumkan kerajaan bermula tengah malam ini (Sabtu 5 Januari), selepas kerajaan mengambil kira kerugian margin yang terpaksa ditanggung oleh pengusaha stesen minyak.

Walau bagaimanapun, Presidennya Datuk Khairul Annuar Abdul Aziz menjangkakan kerugian sebanyak RM40 juta terpaksa ditanggung oleh pengusaha stesen minyak seluruh negara.

“Untuk penurunan 14 sen dan 27 sen petrol malam ini, memandangkan baki stok, industri peruncitan petroleum akan hilang antara RM30 hingga 40 juta di semua stesen. Semua pengusaha akan terus bersabar. Tapi kami yakin ini keputusan terbaik kerajaan. Pengumuman ini beri kesimbangan kepada semua,” ujar beliau.

Tambah Khairul Annuar, kemelut penetapan harga minyak mingguan juga dijangka perlu diperhalusi.

PDAM jelasnya memohon agar pintu perbincangan masih dibuka.

“Setiap kali naik, kita tempah banyak. Tetapi syarikat minyak nak hantar minyak pada hari selepas itu. Harga bila turun, terbalik.

“Kita tak nak beli mahal dan jual murah. Setiap minggu kita akan ada isu antara kami dengan pihak logistik pengangkutan. Nak hantar kadang-kadang lori tak ada kerja.

“Yang terakhir merumitkan kami, paras bekalan tak sama. Kerugian kami adalah apabila harga yang turun lebih banyak daripada harga naik, sebab tak ramai isi minyak.

“Secara keseluruhan, kita rugi (apabila) harga turun selalu,” ujar beliau.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *