Portal berita terbaik anda

Utama

Harga telur ayam naik mendadak

KOTA BHARU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan mengesan kenaikan harga telur ayam turut berlaku di negeri ini pada kadar dua hingga 10 peratus sejak beberapa minggu lepas.

Pengarahnya, Khalid Tik berkata, ia hasil pemantauan yang dilakukan di seluruh pasar raya dan beberapa premis jualan yang mendapati harga semua gred telur meningkat antara 50 sen hingga RM1.

“Harga tersebut masih pada kadar munasabah menyamai kenaikan di kebanyakan negeri di seluruh negara. Bagaimanapun, kami akan terus tingkatkan pemantauan bagi memastikan tiada peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga berlebihan kepada pembeli,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Beliau mengulas berhubung trend perubahan purata harga telur ayam sejak pertengahan bulan lalu hingga awal bulan ini yang didapati mengalami kenaikan secara konsisten pada setiap minggu di pasaran runcit.

Katanya, daripada maklum balas yang diperoleh kenaikan harga tersebut berlaku berikutan peniaga turut mendapatkan bekalan telur pada harga yang tinggi daripada pemborong.

“Kementerian telah mengeluarkan arahan supaya operasi pemeriksaan dilakukan di peringkat pengeluaran (ladang), pengedaran dan pemborong bagi mengesan punca peningkatan harga berlaku. Kita masih dalam proses mengumpul maklumat lanjut berhubung perkara itu,” katanya.

Sementara itu, Khalid berkata, bekalan telur di negeri ini yang kebanyakannya diperoleh dari Pulau Pinang masih mencukupi untuk menampung keperluan semasa dan berharap pembeli tidak melakukan pembelian panik. – Bernama

Loading...

Leave a Reply