Harga emas murah, rakyat Terengganu serbu kedai emas

“SEKARANG harga emas memang murah di Terengganu… contohnya hari ini cuma RM165 saja untuk satu gram (g). Kalau di tempat lain, hampir RM200 setiap gram,” kata Zakaria Yusoff, peniaga emas di Pasar Besar Kedai Payang di Kuala Terengganu.

Zakaria, 55, berkata kejatuhan harga emas itu disebabkan ketika ini permintaan agak kurang berikutan musim persekolahan sudah bermula.

“Biasanya untuk satu gram, harga jualan sekitar RM175 tapi sekarang jatuh sehingga RM165. Memang kebiasaannya beginilah keadaannya selepas cuti sekolah habis.

“Tapi jika pelanggan sudah biasa beli emas, memang waktu seperti inilah mereka beli kerana jauh lebih menguntungkan,” katanya kepada Harian Metro ketika ditemui di premis perniagaannya, hari ini.

Menurut Zakaria, harga emas di negeri ini sememangnya antara paling rendah di Malaysia.

“Memang paling tinggi pun tak sampai RM180 segram, jauh lebih rendah berbanding negeri lain. Bayangkan jika beli 50g ke atas, boleh untung sampai ribuan ringgit.

“Kami boleh tawar harga sebegini sebab peniaga emas di kawasan Kedai Pasar Payang ini memang ramai iaitu ada 26 kedai semuanya dan sewa kedai murah selain bayaran gaji kakitangan lebih rendah.

“Orang dari luar Terengganu kalau nak beli emas, elok datang ke Terengganu saja. Kalau beli tiket kapal terbang awal campur penginapan hotel untuk sehari, masih untung banyak berbanding beli di tempat lain,” katanya yang juga Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu cawangan Kuala Terengganu.

Harga emas yang murah di Terengganu turut diakui seorang pekerja kedai emas di premis berhampiran, Siti Sarah Kamarul, 29.

“Sepanjang saya bekerja di sini selama empat tahun, harga emas pernah turun sehingga sekitar RM140 sahaja untuk satu gram.

“Jika di Kuala Lumpur atau tempat lain memang tak dapat harga seperti ini, hanya di Terengganu dan Kelantan saja,” katanya.

Loading...

Leave a Reply