Portal berita terbaik anda

Utama

Harga emas dijangka naik tahun hadapan – Poh Kong

KUALA LUMPUR – Poh Kong Holdings Bhd menjangkakan harga emas berada dalam aliran meningkat tahun depan untuk mencecah antara AS$1,600 hingga AS$1,700 seauns berbanding AS$1,500 seauns secara purata tahun ini.

Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulannya, Datuk Choon Yee Seiong, berkata pihaknya menyasar permintaan terhadap produk berkaitan emas akan kekal berdaya tahan, memandangkan ketidaktentuan global akan mendorong pengguna mengubah portfolio pelaburan mereka daripada ekuiti kepada emas.

“Terdapat banyak ketidaktentuan pada masa ini, oleh itu emas dilihat sebagai aset selamat. Sudah tentu, harga lebih tinggi adalah sesuatu yang positif untuk kami,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat agung tahunan peruncit barang kemas itu di sini, hari ini.

Bagi tempoh setahun, harga emas meningkat daripada paras terendah secara purata AS$1,199.98 seauns pada 9 November 2018 kepada paras tertinggi AS$1,552 seauns pada 8 November 2019.

Beliau berkata, masih ada ruang untuk harga emas cenderung kepada meningkat, dengan keyakinan itu berasaskan paras tertinggi yang pernah dicapai komoditi tersebut iaitu AS$1,900 seauns pada 2011.

Dalam mengurangkan kesan turun naik harga emas, Poh Kong telah melaksanakan kawalan kos secara berkesan, menambah baik pusingan stok, analisis tepat dan tepat masa untuk membolehkan pengurusan membuat keputusan perniagaan yang baik selain memantau perbelanjaan bagi mengurangkan overhed, katanya.

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Julai 2019, pendapatan Poh Kong tidak berubah pada RM1 bilion manakala keuntungan bersih menambah kepada RM25.27 juta daripada RM23.40 juta pada tahun sebelumnya.

Yee Seiong berkata, melangkah maju, syarikat dijangka mengekalkan perolehan pada tahun kewangan 2020, disokong oleh permintaan tinggi terhadap emas, namun sentimen pengguna yang lemah diunjurkan mengehadkan keuntungan.

“Berdasarkan situasi ekonomi, kami merasakan sentimen pengguna agak lemah dan mereka berhati-hati dalam berbelanja,” katanya.

Beliau berkata, mengenai rancangan perluasan, Poh Kong dijangka membuka satu atau dua cawangan baharu pada 2020, dengan perbelanjaan modal disediakan bagi setiap outlet adalah antara RM3 juta dan RM5 juta.

Poh Kong kini mempunyai 94 outlet.

Di samping itu, Poh Kong turut menggiatkan lagi usaha digital menerusi penambahan saluran dalam talian yang kini meliputi Lazada, PrestoMall, Shopee dan Superbuy.

“Bagi separuh pertama tahun depan, kami berhasrat memulakan platform dalam talian kami sendiri yang akan menjadi saluran dalam talian langsung Poh Kong,” katanya. – Bernama

Loading...

Leave a Reply