Cempedak Cheese

Portal berita terbaik anda

Utama

Hanya berkain pelikat, pengantin viral terkandas banjir selamat diijabkabul

JERTIH – Sepasang pengantin melakar memori unik apabila bukan hanya terpaksa melalui insiden kenderaan ditenggelami banjir lalu berpindah menaiki bot dengan berbusana pengantin, tetapi juga melangsungkan pernikahan hanya dengan berkain pelekat dan berpakaian biasa.

Pasangan pengantin, Aliff Taufiq Alin Azman, 28, dan isteri Maizatul Akmal Moh Razmi, 29, tular di laman sosial sejak semalam apabila insiden berpindah daripada sebuah pacuan empat roda ke sebuah bot untuk ke lokasi pernikahan di Kampung Batu 13, Hulu Besut, di sini, dirakam penduduk.

Aliff Taufiq berkata, mereka terkandas ketika dalam perjalanan untuk ke majlis akad nikah yang dijadualkan pada jam 10.30 pagi semalam di Masjid Kampung La, di sini.

Beliau berkata, pada awalnya rombongan pengantin lelaki dari Machang, Kelantan, singgah di Masjid Ulul Albab, Seberang Jertih kira-kira jam 9 pagi.

Katanya, pengantin perempuan bersama beberapa ahli keluarga juga keluar dari Kampung La untuk menyambut rombongan pengantin lelaki dan bersiap untuk ke majlis akad nikah.

“Kami bergerak ke Kampung La kira-kira jam 10 pagi menaiki kenderaan sendiri tetapi terkandas di Kampung Pasir Akar sebelum ada yang tawarkan bantuan untuk hantar kami menyeberangi laluan banjir menaiki pacuan empat roda.

“Tetapi kami sekali lagi terkandas di Kampung Batu 13 sebelum bantuan bot tiba untuk hantar kami ke kawasan selamat. Kami buat keputusan tidak jadi ke Masjid Kampung La, tetapi ke rumah keluarga pengantin perempuan di Kampung Panchor.

“Majlis akad nikah sepatutnya dibuat sebelah pagi tetapi ditunda selepas Asar di rumah itu berdekatan Sekolah Kebangsaan Kampung Panchor, semalam,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Aliff Taufiq berkata, rombongan pengantin lelaki juga terpaksa bermalam di Panchor kerana sepanjang laluan dari Kampung Panchor ke Jertih dinaiki air.

“Kami keluar awal pagi ini menaiki trak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan bantuan anggota penyelamat lain antaranya bomba dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) untuk melangsungkan majlis sambut menantu di Machang, Kelantan hari ini,” katanya.

Katanya, perancangan untuk melangsungkan majlis perkahwinan ini sudah dilakukan sejak awal tahun tetapi tidak sangka tahun ini bencana banjir agak besar.

“Namun kami bersyukur kerana majlis nikah selamat diadakan seperti yang dirancang walaupun dalam suasana serba ringkas saya pakai kain pelekat saja ketika akad nikah.

“Kami juga tidak sangka ada yang sempat merakam video kami terkandas di Kampung Batu 13 ketika dalam usaha untuk keluar dari pacuan empat roda masuk ke dalam bot dan video itu menjadi viral di laman sosial,” katanya.

Sementara itu, Maizatul Akmal berkata, beliau berasa sedih kerana baju pernikahan rosak dan majlis persandingan sebelah perempuan yang dirancang semalam di Kampung Panchor terpaksa dibatalkan kerana semua laluan ke kawasan itu terputus.

“Saya tidak tahu pun video saya tular sehinggalah adik beritahu. Malu pula bila tengok video itu, tetapi itulah kenangan yang tidak mungkin saya lupa. Apa pun kami bersyukur sudah selamat bernikah,” katanya yang tidak menyangka kawasannya dinaiki air selepas tiga tahun tidak banjir.

Loading...

Leave a Reply

Theme by Anders Norén