Portal berita terbaik anda

Utama

Hanya 7 kes Covid-19 direkodkan hari ini – Dr Hisham

JANGKITAN baharu Covid-19 dalam negara hanya merekodkan tujuh kes hari ini dengan jumlah kumulatif kes keseluruhan penularan wabak itu dalam negara sebanyak 8,329 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada tujuh kes baharu yang dilaporkan itu, ada dua kes import dan lima lagi kes penularan tempatan dalam kalangan warga Malaysia.

Beliau berkata, jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya daripada jangkitan Covid-19 dalam negara juga meningkat kepada 6,694 kes dengan kadar kesembuhan 80.4 peratus, hari ini.

Menurutnya, ia susulan pertambahan 20 lagi kes pulih dan dibenarkan discaj daripada fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) selain melebihi bilangan kes baharu yang dilaporkan.

“Keseluruhannya, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 1,518 kes.

“Seramai enam pesakit dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), satu daripadanya memerlukan bantuan pernafasan,” katanya ketika sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Perincian bagi lima kes penularan dalam kalangan warga Malaysia adalah seperti berikut:

  • Dua kes kontak rapat kepada kes positif Covid-19 (kes ke-8294) di Sepang, Selangor
  • Satu kes saringan tempat kerja dari Kluster Depot Tahanan Imigresen (DTI) Bukit Jalil, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
  • Satu kes saringan pra pembedahan di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS), Likas, Sabah
  • Satu kes saringan komuniti di Kota Kinabalu, Sabah.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, tiada kematian berkaitan jangkitan Covid-19 dilaporkan kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) setakat 12 tengah hari ini.

“Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 117 kes, 1.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” katanya.

Loading...

Leave a Reply