Hanelang bukan kami punya!

KUALA TERENGGANU: Pemilik syarikat Tulangis Group, Datuk Mohd Hazarul Ifdaz Datuk Seri Mohamed Rahim menafikan syarikatnya mengambil alih pengurusan pasukan Hanelang FC musim lalu.

Sebaliknya beliau menyatakan syarikatnya hanya menjadi antara penaja kelab milik Persatuan Bolasepak Daerah Hulu Terengganu (PBSDHT) bagi membantu Hanelang FC yang beraksi dalam saingan Liga FAM.

“Kami hanya penaja kelab itu (Hanelang FC) dan bukannya pemilik, kami taja dengan niat membantu pemain dan kelab itu dalam saingan Liga FAM. Pemilik sebenar pasukan itu masih di bawah Hanelang FC dan PBSDHT.

“Jumlah tajaan sudah saya salurkan kepada pengurusan Hanelang FC berjumlah RM600,000 pada peringkat permulaan sebelum ditambah RM200,000 lagi untuk menampung kos pengurusan kelab.

“Jadi sekarang tidak timbul saya pemilik pasukan itu (Hanelang FC) kerana saya hanya bagi duit sebagai penaja, bukan ambil pasukan itu, lagipun dalam mesyuarat awal dengan Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) termasuk pengurusan Hanelang FC, kami sudah maklum sebagai penaja saja dan bersedia mengeluarkan kos sebanyak itu (RM600,000).

“Selepas jumlah penajaan RM600,000 kepada Hanelang FC habis sebagaimana saya janjikan, saya mengundur diri. Dakwaan Presiden PBSDHT menyatakan syarikat kami yang menguruskan perjalanan kelab itu adalah tidak benar dan pihak kami sedia berbincang dengan pengurusan Hanelang FC dan PBSDHT bagi merungkai kemelut itu.”

“Kami juga ingin bersihkan nama syarikat kami kerana kami bukan pemilik pasukan itu, namun jika PBSDHT berkeras kami tidak teragak-agak membawa kes ini ke mahkamah,” ujar Hazarul Ifdaz yang juga pernah menaja sukan lain di negeri ini.

Semalam Sukan NSTP melaporkan kemelut tunggakan gaji yang melanda 20 pemain Hanelang FC berjumlah kira-kira RM1.1 juta dilihat sukar diselesaikan kerana PBSDHT mendakwa kelab itu bukan di bawah pengurusan persatuan itu sebaliknya diuruskan sebuah syarikat.

Hazarul Ifdaz berkata, pada awal Januari lalu, satu mesyuarat diadakan bersama PBSNT dan Hanelang FC untuk membincangkan isu tuntutan tunggakan gaji bekas pemain tapi masing-masing bagaikan lepas tangan.

“Kami tidak lari dan sedia berbincang dengan pengurusan Hanelang FC dan barisan tertinggi PBSNT termasuk presiden kerana kami ada dokumen selain mahu cuci nama kami,” katanya yang berharap cadangan untuk berjumpa dengan Menteri Besar Terengganu menjadi kenyataan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *