Cempedak Cheese

Portal berita terbaik anda

Utama

‘Hanan jaga, teman mama bila sudah besar nanti’

HULU KINTA – “Hanan jaga, teman mama bila sudah besar nanti.” Itu pesanan terakhir Allahyarham Lans Koperal Saifullah Mohamad ketika kali terakhir bertemu sebelum terbabit dalam kemalangan di Pasir Gudang, Johor hari ini.

Allahyarham berusia 32 tahun menitip pesanan itu kepada satu-satu anak mereka, Muhammmad Hanan Attaki yang berusia 51 hari ketika bertemu dengan isterinya, Lans Koperal Norina Bakri di rumah keluarganya di Kuala Lumpur.

Norina berkata, perkara itu dianggap sebagai gurauan bapa kepada anaknya itu ketika menghabiskan waktu bersama.

“Arwah sangat penyayang dan semalam dia ada menghubungi kami kerana terlampau rindukan Hanan malah tidak sabar untuk memohon cuti untuk balik bertemu dengan kami.

“Banyak perkara arwah sembang dengan anak kami. Dia janji mahu bawa kami berjalan-jalan selepas saya habis pantang dan pulang semua ke Johor,” katanya ketika ditemui di rumah keluarga mentuanya di Taman Jaya Delima di sini hari ini.

Menurutnya, hasrat mereka untuk adakan majlis cukur jambul dan akikah awal Disember ini juga tidak kesampaian.

“Saya masih lagi tidak percaya telah kehilangannya sebab terasa seperti baru semalam bertemu dengannya tambahan usia perkahwinan kami baru setahun.

“Dia seorang yang sangat kelakar dan suka bergurau. Sesiapa pun akan selesa berbual dengannya. Kehilangan dia amat terasa malah ibu mentua masih lagi terkejut dengan berita ini,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 pagi itu, Saifullah dan Lans Koperal Mohamad Johari Rosli, 32, dari Balai Polis Taman Scientex, maut akibat dirempuh lori selepas selesai penugasan sekatan jalan di Jalan Changong, Taman Pasir Putih di Pasir Gudang.

Jenazah Allahyarham Saifullah dijadualkan akan disembahyangkan di Majis Jamek Tanjung Rambutan dan akan dikebumikan kira-kira jam 9 malam di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bakar Bata di sini.

Leave a Reply

Theme by Anders Norén